Polis Terengganu kenal pasti tujuh lokasi 'panas' PRU15

Iklan
Rohaimi ketika sidang akhbar selepas menghadiri Taklimat dan Amanat Persiapan RU15 Polis Terengganu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu pada Rabu. - Foto Bernama

KUALA TERENGGANU - Polis Terengganu telah mengenal pasti tujuh lokasi 'panas' bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, lokasi itu termasuk satu di Kuala Nerus, Kuala Terengganu (satu lokasi), Dungun (dua lokasi), Marang (satu lokasi), Besut (satu lokasi) dan Hulu Terengganu (satu lokasi).

Iklan
Iklan

Beliau berkata, penyenaraian itu adalah berdasarkan beberapa insiden tidak diingini yang pernah berlaku pada PRU14 yang lepas.

"Bagaimanapun kita akan lihat semula selepas penamaan calon dan berpandukan maklumat risikan polis dari semasa ke semasa," katanya pada sidang media selepas Majlis Taklimat dan Amanat Ketua Polis Terengganu Sempena PRU15 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu (IPK) di sini pada Rabu.

Iklan

Rohaimi berkata, untuk menjamin keselamatan orang ramai, tujuh lokasi berkenaan akan diberi lebih tumpuan dan pemantauan sepanjang pilihan raya berlangsung.

Dalam pada itu beliau turut memaklumkan, seramai 3,818 pegawai serta anggota polis termasuk dari kontinjen Terengganu dan Bukit Aman akan bertugas sepanjang pilihan raya bagi memantau keselamatan dan ketenteraman awam.

Iklan

Beliau turut memberi jaminan bahawa orang ramai bebas menjalankan aktiviti harian seperti biasa tanpa rasa gusar akan berlaku sebarang insiden atau provokasi yang boleh membahayakan diri.

"Untuk penugasan PRU15, kita ada 3,278 pegawai dan anggota daripada kontinjen Terengganu dan 540 lagi akan membantu dari Bukit Aman.

"Selain itu, kita juga ada bantuan daripada pasukan sahabat iaitu 585 anggota dari Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan 101 petugas Sukarelawan Polis Diraja Malaysia (SPDRM)," katanya. - Bernama