Ahli kecewa UMNO tidak dipilih wakili BN di kerusi Batu

Iklan
Yahaya - Foto Awani

KUALA LUMPUR - UMNO Bahagian Batu tidak menolak terdapat ahli yang terdiri daripada akar umbi dan jentera kecewa apabila parti itu tidak dipilih mewakili Barisan Nasional (BN) untuk bertanding di kerusi Parlimen Batu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketuanya, Datuk Yahaya Mat Ghani berkata, pihak atasan tidak boleh menyalahkan beliau dan pimpinan lain UMNO bahagian itu jika ada tindakan seperti sabotaj, berikutan menyifatkan ia satu tindakan luar kawalan.

Iklan
Iklan

"Kita memang akan terus berusaha bekerja untuk memastikan calon BN menang.

"Tetapi dalam satu masa sama juga kita tidak ada hak untuk menyekat perasaan jentera dan akar umbi yang mungkin kecewa dengan apa berlaku," katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Ujar beliau, kebanyakan jentera parti di Batu merangkumi ahli UMNO dan BN peringkat akar umbi yang sudah tentu berasa terlalu kecewa serta dikhuatiri ada tindak balas susulan itu.

"Saya tak mampu mengawal, bagaimanapun kita akan terus istiqamah sebagai ahli BN. Kita juga nak calon BN menang waimah siapa yang dicalonkan," katanya.

Iklan

Pada Selasa, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan senarai calon gabungan itu yang akan bertanding pada PRU15.

Bagi Parlimen Batu, calon dari parti MIC, A Kohilan Pillay G Appu dipilih mewakili BN di kerusi itu.

Yahaya berkata, UMNO Bahagian Batu meletakkan keyakinan kepada pucuk pimpinan tertinggi parti itu untuk merampas semula kerusi Parlimen Batu daripada pembangkang sekiranya diberi peluang pada PRU15.

Parlimen Batu kali terakhir menjadi milik BN pada 2004 sebelum jatuh ke tangan PKR pada 2008 berikutan wakilnya, Tian Chua mengalahkan calon BN (Gerakan), Lim Si Pin dengan majoriti 9,455 undi.

Sejak itu, Parlimen berkenaan menjadi kubu kuat PKR, namun jatuh ke tangan calon Bebas, P Prabakaran pada PRU14 2018 dengan majoriti yang tinggi apabila Tian Chua tidak layak bertanding ketika itu.

Prabakaran kemudian menyertai PKR susulan kemenangannya dan diumumkan sebagai calon parti itu bagi kerusi berkenaan pada PRU15.