PADANG BESAR - Beberapa laluan jalan raya di sini akan ditutup dan dilencongkan selain diadakan sekatan jalan raya (SJR) dalam usaha melancarkan proses penamaan calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada Sabtu ini.
Ketua Polis Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd Shokri Abdullah berkata, SJR dan lencongan akan dilakukan berhampiran pusat penamaan calon di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Beseri, bermula 7 pagi hingga 12 tengah hari.
Iklan
Iklan
"Jalan yang ditutup ialah jalan utama dari Padang Besar menghala ke Kangar dan akan dilencongkan ke Jalan Guar Jentik berhampiran simpang tiga di Jalan Timah Tasoh, manakala jalan utama dari Kangar menghala ke Padang Besar akan ditutup dan dilencongkan ke Jalan Kampung Darat.
"Selain itu, Jalan Semadong ke Kubang Tiga akan ditutup dan dilencongkan ke Jalan Baru Semadong,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu.
Menurut Mohd Shukri, tindakan penutupan sementara jalan raya itu dibuat dengan mengambil kira faktor keselamatan penyokong parti yang berkumpul di sepanjang jalan berkenaan.
Beliau turut menasihatkan pengguna jalan raya khususnya di sekitar Padang Besar, Beseri dan Kaki Bukit supaya merancang perjalanan bagi mengelakkan sebarang kesulitan atau tersekat dalam kesesakan berikutan penutupan jalan sepanjang tempoh penamaan calon berlangsung.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh 5 November ini sebagai hari penamaan calon. - Bernama