SHAH ALAM - Pegawai Bahagian Counter Terrorism (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Deputi Superintendan, Wan Ruzailan Wan Mat Rusoff mendedahkan bahawa terdapat individu yang menjual rumah bernilai RM500,000 untuk pergi ‘berjihad’ ke Syria.
Beliau berkata, ia berdasarkan siasatan yang dilakukan pihaknya terhadap individu yang disyaki terlibat dengan militan di negara bergolak tersebut.
"Kesudahannya, ahli keluarga pula yang menanggung kesusahan,” kata Wan Ruzailan kepada Sinar Harian ketika ditemui pada Program Seminar Kawal Selia Penerbitan al-Quran Peringkat Negeri Selangor di Kompleks Kumpulan Karangkraf dekat sini pada Rabu.
Hadir sama, Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Datuk Hussamuddin Yaacub; Ketua Penolong Setiausaha Regulatori Al-Quran dan Hadis Kementerian Dalam Negeri (KDN), Dr Mohd Zamir Bahall, Ahli Lajnah Tasheh Al-Quran, Mohd Raof Samsuri serta Pengarah KDN Selangor, Ahmad Hilmi Said.
Jelas beliau, salah faham terhadap pemahaman al-Quran antara punca sesetengah individu terlibat dengan kegiatan terorisme agama sehingga sanggup menggadaikan aset untuk pergi ‘berjihad’ di luar negara.
"Ia juga berlaku disebabkan salah faham terhadap pemahaman Islam yang sebenar terutama dalam perkara melibatkan hal ehwal pentadbiran.
"Kebiasaannya, individu-individu ini mempunyai satu kepercayaan sistem pentadbiran di kebanyakan negara Islam ini telah taghut dan tidak berpegang dengan hukum-hukum ALLAH,” kata beliau.
Pada masa yang sama, beliau berkata, individu yang terlibat dengan kegiatan terorisme atau kumpulan ajaran sesat mempunyai kaitan dengan salah faham mengenai kemunculan Imam Mahdi.
"Kalau kita lihat seperti pemimpin ISIS, Abu Bakar Al Baghdadi, dia ada mengaitkan dirinya dengan kemunculan Imam Mahdi begitu juga dengan gerakan Al-Arqam,” tambahnya.
Wan Ruzailan juga menyeru semua asatizah dan para pendakwah untuk memberi pencerahan serta pendidikan sewajarnya kepada umat Islam tentang pemahaman agama yang sebenar agar tidak berlaku salah faham akibat kemasukan anasir negatif.