KEPALA BATAS - [DIKEMAS KINI] Kerajaan Persekutuan tidak pernah membeza-bezakan pembangunan di negeri atau kawasan Dewan Undangan Negeri di bawah pembangkang demi kepentingan masyarakat kawasan itu, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Perdana Menteri berkata, ia termasuk Pulau Pinang yang tidak pernah dipinggirkan kerajaan Persekutuan meskipun ia diterajui oleh pembangkang.
"Kalaulah begini ikhlasnya kerajaan Persekutuan, eloklah pilih kerajaan Persekutuan daripada (berbanding) parti pada 19 November ini,” kata beliau ketika merasmikan majlis pecah tanah projek Program Perumahan Rakyat (PPR), Masjid Bandar Putra Bertam dan Kepala Batas Youth Centre (KBYC) di sini pada Rabu.
Komitmen kerajaan juga, kata beliau, boleh dilihat dengan pengumuman tiga projek yang dirasmikan hari ini di DUN Pinang Tunggal, Pulau Pinang yang diterajui pembangkang.
Rakyat Malaysia akan memilih kerajaan baharu pada 19 November ini setelah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh itu bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), penamaan calon pada 5 November dan pengundian awal pada 15 November.
Mengenai Projek PPR Kepala Batas yang bernilai RM113 juta, Ismail Sabri berkata, ia melibatkan pembinaan 700 unit rumah pangsa empat tingkat berserta kemudahan asas, yang akan dilaksanakan di tanah seluas 8.1 hektar (20 ekar) milik Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) di Pongsu Seribu, Seberang Perai Utara.
Beliau berkata, projek itu turut menyediakan tujuh unit rumah untuk memenuhi keperluan Orang Kurang Upaya (OKU).
"Kos pembinaan seunit rumah ini adalah RM161,000 tetapi akan dijual dengan harga hanya RM45,000 seunit. Ini bermakna subsidi bagi seunit rumah adalah RM116,000 dan jumlah keseluruhan subsidi yang ditanggung kerajaan bagi projek ini adalah RM81.2 juta,” kata beliau.
Perdana Menteri berkata, kerajaan sentiasa komited melaksanakan program pembangunan untuk Keluarga Malaysia berlandaskan prinsip Maqasid Syariah dan dalam konteks Malaysia, kerajaan bertanggungjawab memelihara dan menyuburkan pengembangan syiar Islam dalam kalangan Keluarga Malaysia terutamanya yang beragama Islam.
Justeru, beliau mengumumkan pelancaran majlis pecah tanah bagi pembinaan Masjid Bandar Putra Bertam, Kepala Batas yang akan dibangunkan di atas tanah milik Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) yang dapat memuatkan 1,500 jemaah.
Beliau berkata, projek kerjasama kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan sumbangan melalui kutipan wakaf dana pembangunan masjid itu berkonsepkan bangunan mesra alam rendah karbon dan bakal menjadi mercu tanda serta antara bangunan hijau di Pulau Pinang.Selain itu, Perdana Menteri berkata, pembinaan KBYC bernilai RM45 juta pula akan dilengkapi pelbagai kemudahan antaranya asrama, astaka, padang bola dan trek sintetik, dewan E-Sport, bilik muzik, gimnasium dan trek jogging.
Beliau berkata, Bajet 2023 yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada 7 Oktober lepas, memberi tumpuan kepada kesejahteraan Keluarga Malaysia dengan penyediaan kediaman yang mencukupi, berkualiti dan mampu dimiliki bagi memenuhi keperluan penduduk yang semakin bertambah.
Menurutnya, kerajaan telah menyediakan peruntukan sebanyak RM372.3 bilion termasuk Skim Perumahan yang merangkumi program PPR untuk manfaat 12,400 penghuni baharu dengan peruntukan RM367 juta dan Program Rumah Mesra Rakyat melibatkan pembinaan 4,250 unit rumah dengan peruntukan RM358 juta.
Turut hadir Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abd Rahman. - Bernama