Bersatu dominasi kerusi DUN PN di Perak

Iklan

IPOH - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mendominasi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan ditandingi Perikatan Nasional (PN) di Perak apabila meletakkan calon di 26 kawasan daripada 59 kerusi dipertandingkan.

Menerusi pengumuman calon pada malam Selasa, Pas akan bertanding di 24 kerusi DUN manakala Gerakan pula bertanding di sembilan kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini.

Iklan
Iklan

Bersatu menerusi sayap bersekutu mereka turut meletakkan calon bukan Melayu bertanding kali ini di kerusi DUN Kepayang, DUN Buntong dan DUN Simpang Pulai.

Pas pula menampilkan dua calon dari Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) yang masing-masing akan bertanding di DUN Jelapang dan DUN Pasir Bedamar.

Iklan

Buat pertama kalinya Setiausaha PN Perak yang juga penyandang DUN Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin bertanding di dua kerusi iaitu Parlimen Teluk Intan dan kekal di DUN yang sama pada PRU15.

Sementara itu, semua penyandang DUN dikekalkan iaitu Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria yang menyandang kerusi DUN Gunung Semanggol, Mohd Akmal Kamarudin (Pas-Selama), Khalil Yahaya (Pas-Kubu Gajah), Datuk Abdul Yunus Jamahri (Bersatu-Kuala Kurau) dan A Sivasubramaniam (Bersatu-Buntong).

Iklan

Bagi penyandang kerusi DUN Tualang Sekah, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi pula diletakkan bertanding di kerusi Parlimen Tanjung Malim kali ini dan digantikan dengan calon muka baharu, Pazli Abdullah Sani.

Bagaimanapun terdapat dua kerusi DUN yang tidak diumumkan calonnya iaitu DUN Pengkalan Baharu dan DUN Malim Nawar.