IPOH - Pengerusi MIC Perak, Datuk V Elango tersenarai antara tiga calon MIC yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.
Elango, 57, dicalonkan di kerusi DUN Sungkai dan dijangka berdepan dengan penyandang daripada DAP, A Sivanesan yang dicalonkan semula di kerusi berkenaan mewakili Pakatan Harapan (PH).
Selain Elango, MIC turut menamakan Setiausaha MIC negeri, G Shanmugiavalloo di DUN Aulong dan Ketua MIC Ipoh Barat, MS Jayagopi di kerusi Buntong.
Kenyataan daripada Pejabat Pengerusi BN Perak itu turut menamakan Ketua Wanita Makkal Sakti Perak, Hamidah Muhamad bertanding di kerusi Jelapang.
Senarai baharu itu melengkapkan calon BN Perak di semua 59 kerusi yang ditandingi pada PRU15 ini.
Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Saarani Mohamad ketika mengumumkan calon BN Perak pada Rabu, tidak menamakan calon di empat kerusi berkenaan berikutan masih terdapat perbincangan sama ada untuk diberikan kepada MIC atau Friends of BN.
Dengan perkembangan itu, MIC mengesahkan akan bertanding di enam kerusi di Perak masing-masing tiga Parlimen dan tiga DUN.
Tiga kerusi Parlimen yang ditandingi MIC adalah Sungai Siput menerusi Presidennya, Tan Sri S A Vigneswaran; Timbalan Presiden, Datuk Seri M Saravanan (Tapah) dan Naib Presiden, Datuk T Murugiah (Teluk Intan).
Saravanan ketika ditemui di Bangunan UMNO Perak berkata, MIC berpuas hati dengan pembahagian kerusi di negeri ini.
"Perak tak ada isu pun kerana kita masih bertanding di kerusi DUN dan Parlimen," katanya.
Senarai calon BN Perak (baru diumum):
N18 Aulong: G Shanmugiavalloo (MIC) - calon baharu
N30 Buntong: MS Jayagopi (MIC) - calon baharu
N31 Jelapang: Hamidah Muhamad (Makkal Sakti) - calon baharu
N57 Sungkai: Datuk V Elango (MIC) - calon baharu