PUCHONG - Aktivis sosial, Kuan Chee Heng atau lebih dikenali Uncle Kentang menawarkan diri sebagai calon Bebas di Parlimen Puchong pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Chee Heng menerusi kemas kini di Facebooknya berkata, pencalonannya di kerusi tersebut dapat memberikan lebih banyak alternatif kepada penduduk tempatan untuk membuat pilihan.
Menurutnya, kelebihannya sebagai penduduk asal di sana memudahkan orang ramai untuk berurusan dan mendapatkan bantuan.
"Suara yang betul-betul boleh mewakili kamu adalah orang tempatan yang mudah dijumpa di mana-mana di Puchong. Mesra, senang dapat bantuan, hendak dapat tandatangan borang (pun senang), pejabat (saya) dekat Puchong Utama sahaja.
"Bukan calon dari luar. (Saya) anak penoreh getah, faham masalah rakyat dan sentiasa bersama rakyat. Mudah dihubungi dan nombor saya hari-hari dikongsikan," katanya menerusi perkongsian di Facebooknya.
Chee Heng berkata, pengalaman selama 14 tahun sebagai Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) menyebabkannya lebih memahami isu keselamatan dan keperluan masyarakat.
"Saya dengan rendah diri menawarkan diri sebagai calon bebas di P103, Parlimen Puchong. Biar rakyat Puchong mendapat suara yang sebenarnya, bukan daripada ahli politik tetapi dari seorang rakyat biasa yang memahami masalah rakyat.
"Beri undi kepada orang yang anda mudah jumpa dan boleh mewakili anda. Dari rakyat kepada rakyat," katanya.
Beliau mengajak lebih ramai sukarelawan memberikan sokongan moral kepadanya untuk menjadi calon bagi membawa suara rakyat ke Parlimen.
"Saya perlu sukarelawan yang ramai untuk hadir bersama semasa hari penamaan calon di Dewan Puchong Indah.
"Marilah kita bawa sepanduk suara rakyat yang benar-benar mewakili rakyat. Kalau anda setuju untuk suara anda diwakili di Parlimen, sila hubungi saya di 018-2683999.
"Saya akan jumpa anda untuk kita sama-sama hadir di Dewan Puchong Indah pada 5 November 2022 ini," katanya.
Chee Heng sebelum ini bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih pada 2019, namun tewas apabila hanya mendapat 725 undi.