Pembangkang desak siasatan kes curi nadir bumi diteruskan

Iklan
Johari (dua dari kanan) pada sidang akhbar selepas Persidangan DUN Kedah di Wisma Darul Aman, Alor Setar pada Rabu.

ALOR SETAR – Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah mendesak supaya siasatan berhubung isu kecurian unsur nadir bumi (REE) di Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik, tidak dihentikan.

Ketuanya, Datuk Johari Abdul berkata, siasatan perlu diteruskan meskipun dua kompaun berjumlah RM630,000 telah dikenakan terhadap seorang lelaki.

Iklan
Iklan

Johari berpandangan, siasatan lanjut berkenaan perlu bagi memastikan pelaku utama kegiatan mencuri REE berkenaan dapat dikenal pasti dan ditangkap.

"Saya ada bangkitkan kepada Menteri Besar Kedah tadi tentang REE, dia (Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor) menyebut bahawa kompaun telah dikenakan kepada mereka yang terlibat.

Iklan

"Namun, soalan saya adakah apabila kompaun dikenakan, siasatan akan diberhentikan ataupun tidak ada lagi pendakwaan. Jadi, jawapan dia seolah-olah siasatan berjalan tapi pendakwaan terhenti. Jadi, mungkin juga siasatan itu pada isu-isu mendatang,” katanya.

Beliau berkata sedemikian kepada Sinar Harian pada sidang akhbar selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman di sini pada Rabu.

Iklan

Johari menegaskan, siasatan kes kecurian REE yang telah berlaku tidak sepatutnya terhenti walaupun kompaun telah dikenakan terhadap individu terlibat.

"Bagi kita, dia (kes) tidak boleh terhenti kerana kita hendak pelaku sebenarnya dan siapakah yang terlibat sebenarnya dan kenapa kehadiran pakar dari China sehingga 15 orang.

"Satu jumlah besar. Bagi saya, sekiranya jumlah besar maka dia tersusun. Jikalau tersusun, maka ia memiliki struktur yang jelas,” katanya.

Sebelum itu, Muhammad Sanusi ketika sesi penggulungan pada Sidang DUN Kedah memberitahu, siasatan berhubung kecurian REE akan diteruskan, bagaimanapun beliau tidak dapat mendedahkan perkara itu dengan terperinci.

Dalam perkembangan lain, Johari meminta kerajaan negeri memperincikan bantuan khas sebanyak RM5 juta kepada golongan memerlukan di Kedah.

"Jadi, kita minta semua agensi khususnya peringkat daerah memaklumkan juga pada kita, bukan hanya kerajaan tetapi juga pembangkang kerana yang miskin juga ada di kawasan kita,” katanya.