Anak tergamak tumbuk, pijak ibu kerana tak kemas rumah

Iklan
Gambar hiasan

PETALING JAYA - Seorang lelaki sanggup memukul ibunya sehingga wanita itu cedera di muka dan badan di sebuah rumah di Sungai Way di sini pada 28 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa berusia 44 tahun pada jam 2.40 petang, Isnin.

Iklan
Iklan

"Kejadian tersebut berpunca apabila anak lelakinya yang berusia 19 tahun tidak berpuas hati dengan mangsa kerana mendakwa wanita itu tidak mengemas rumah," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Mohamad Fakhrudin berkata, ketika kejadian pada jam 6 petang, suspek bertindak mengunci pintu hadapan rumah dan membaling barang-barang perhiasan ke arah mangsa serta menumbuk muka dan memijak badan ibunya itu.

Iklan

"Susulan laporan yang diterima, kita berjaya menangkap suspek di Kampung Lindungan Sungai Way di sini pada jam 7.30 malam, Selasa.

"Hasil siasatan awal suspek mengaku terlibat dalam kes yang disiasat. Kejadian ini bukan pertama kali mangsa dipukul oleh suspek," katanya.

Iklan

Beliau berkata, hasil semakan mendapati suspek mempunyai satu rekod lampau berkaitan kes jenayah.

"Suspek direman selama empat hari bermula Rabu hingga Sabtu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan," katanya.