LANGKAWI - Kepulangan ‘Mak Cik Udang’ dari laut sememangnya dinantikan oleh pelanggannya yang sabar menunggu di jeti Kampung Bagan Nyior di utara Pulau Dayang Bunting di sini.
Berumur 64 tahun, Kamariah Hassan, nelayan wanita tunggal di Pulau Lagenda ini, sememangnya terkenal dengan hasil tangkapan udangnya.
"Saya mengenalinya sebagai ‘Mak Cik Udang’. Saya datang ke sini dari pulau besar (Langkawi) untuk beli udang mak cik ni sebab betul-betul segar,” kata Ahmad Fauzi, 42.Beliau adalah antara pelanggan Kamarian yang kerap menjadi penunggu setia di jeti untuk membeli udang yang sudah ditempah awal-awal lagi.
Kehadiran pembeli setia seperti Ahmad Fauzi menjadi penyuntik semangat buat Kamariah untuk terus menjadi nelayan walaupun pada usia yang sudah semakin lanjut.
Kalau hendak diikutkan sudah berpuluh-puluh tahun wanita gigih ini menjadi nelayan, malah sebelum berumah tangga lagi iaitu mengikut ayahnya yang juga seorang nelayan.
"Inilah (menjala ikan dan udang di laut) yang saya buat sejak kecik (belasan tahun) lagi. Saya sihat lagi la ni, jadi buat apa nak berhenti cari udang?” katanya dalam loghat utara.
TIDAK PERNAH BERSEKOLAH
Saban hari, Kamariah turun ke laut kira-kira pukul 6 pagi dengan menaiki bot"ekor biawak” - bot kecil enjin sangkut - untuk menjala hasil laut terutamanya udang yang banyak terdapat di sekitar perairan Selat Bagan Nyior, berdekatan Pulau Dayang Bunting.
Beliau balik ke jeti selepas empat hingga enam jam dan terus menjual hasil tangkapan kepada pembeli. Selesai makan tengah hari, Kamariah turun semula menjala untuk beberapa jam lagi.
Jumlah tangkapan harian udang adalah kira-kira dua kilogram selain serba sedikit ikan seperti belanak, duri dan sembilang.
"Bolehlah dapat dalam RM30 sehari. Cukuplah untuk belanja, saya pun dapat sikit bantuan bulanan tapi takkan nak harapkan simpati orang sahaja.
"Saya tak pernah mengaji (bersekolah) pun. Pak (Ayah) bawa saya mai sini dan saya selalu ikut dia pi ke laut tangkap ikan sejak kecik lagi,” katanya ketika menceritakan perpindahan keluarganya dari pulau besar (Langkawi) ke Kampung Bagan Nyior di Pulau Dayang Bunting.
Kamariah adalah anak kedua daripada empat adik beradik dan kesemuanya tidak pernah bersekolah. Abangnya juga seorang nelayan.
Kamariah tidak menjual hasil tangkapan kepada peraih sebaliknya kepada individu yang boleh dikatakan pelanggan tetapnya, memandangkan kuantiti tangkapan yang kecil. Selain Pulau Dayang Bunting, pelanggannya terdiri daripada penduduk pulau besar (Langkawi) dan Pulau Tuba.
Saban hari nelayan wanita ini turun ke laut kecuali pada musim tengkujuh, apabila kurang sihat ataupun memenuhi jemputan kenduri dan sebagainya. Di samping itu, Kamariah turut membuat kerja-kerja kampung dan bercucuk tanam untuk mencari rezeki ketika musim tengkujuh.
Biarpun laut yang mendakap kepulauan itu banyak memberi dugaan hebat sejak beberapa dekad lalu, namun itu jugalah yang menjadi medan rezeki bagi Kamariah yang tidak mahu terlalu mengharapkan simpati atau bantuan orang lain dalam menjalani kehidupan.
"Suami mak cik dah lama meninggal dunia selepas jatuh ke dalam di laut, anak lelaki pun jatuh juga,” katanya yang kemudiannya berkahwin lain.
Kamariah terdiam sebentar sebelum menyambung cerita mengenai peristiwa yang berlaku pada 1971 yang menimpa suaminya, berusia 40 dan anak lelakinya, 11 tahun ketika itu.
Bot yang dinaiki suami dan anaknya karam sewaktu dilanda ribut menyebabkan kedua-duanya jatuh ke dalam laut. Mayat anaknya ditemukan terdampar di tepi pantai beberapa hari kemudian manakala jasad suaminya tidak ditemui.
Peristiwa itu adalah ujian berat buat Kamariah, namun beliau cekal menghadapi dugaan demi kesinambungan hidup bersama-sama tiga lagi anak perempuannya berusia 14, 13 dan tujuh tahun yang masih bersekolah ketika itu.
"Tapi anak sulung dan kedua dah tak ada, seorang meninggal masa berumur 39 dan seorang lagi semasa berumur 29 tahun. Dua-dua sebab sakit, jadi tinggallah anak bongsu saja. Dia pun dah kahwin dan ada anak,” tambah beliau.
BELUM MAHU GANTUNG JALA
Mengakui kudratnya semakin berkurangan pada usia melebihi setengah abad kini, Kamariah berkata,"Dulu bolehlah dapat pergi jauh sedikit tapi sekarang hanya mampu jala udang dan ikan dekat dengan pantai atau masuk sungai saja,” katanya.
Masih belum mahu menggantung jala dan bersara daripada menjadi nelayan, Kamariah yang mengakui masih mampu mencari rezeki memberitahu bahawa beliau mengamalkan minum air kelapa untuk menjaga kesihatan.
Antara amalan lain adalah meminum air masak secukupnya setiap hari dan hanya mengambil minuman bergula apabila dihidangkan kepadanya demi menjaga hati orang berkenaan.
Kamariah akan terus turun ke laut selagi kudrat mengizinkan kerana katanya,"Sekarang pun masih sihat. Kalau dah ajal, kat mana pun boleh mati. Alhamdullillah sampai sekarang Allah bagi kesihatan yang baik. Tak sakit lutut atau apa-apa,” katanya. - Bernama