KELAB Liga Premier, Kuching City FC mencipta lembaran baharu pada saingan Piala Malaysia apabila melayakkan diri buat pertama kali ke suku akhir selepas menyingkirkan Penang FC di pusingan 16.
Pengendali The Cats, Irfan Bakti yang gembira dapat membawa Kuching City ke satu tahap yang lebih tinggi, memuji semangat juang para pemain yang berjuang sehingga minit terakhir permainan.
Malah beliau juga lega apabila Kuching tidak melalui situasi sepakan penalti yang sememangnya bergantung kepada elemen nasib bagi menentukan pemenang.
Pada masa sama beliau mengharapkan kemaraan ke suku akhir akan menyalakan semangat pemain untuk berdepan pasukan pilihan, Sabah FC pada 5 dan 11 November ini.
"Saya bangga kerana pemain dapat sudahi perlawanan dalam tempoh 90 minit termasuk 30 minit masa tambahan tanpa perlahankan permainan.
"Kalau boleh saya memang ingin mengelak kami berada dalam situasi sepakan penalti yang saya ibaratkan seperti loteri.
"Jadi saya sangat bersyukur kerana pemain dapat menjaringkan gol di minit-minit terakhir dan saya berbangga kerana dapat mencipta sejarah kepada Kuching kerana pertama kali layak ke suku akhir.
"Selepas ini, Kuching akan berdepan pasukan yang lebih kuat iaitu Sabah di peringkat seterusnya dan kita tidak boleh ambil mudah jika mahu meneruskan cabaran di Piala Malaysia,” katanya.
Kuching mara selepas menang melalui kiraan agregat 4-3 dengan jaringan di masa tambahan melalui Wan Faiz Wan Sulaiman pada minit ke-118.
Penang terlebih dahulu mengejutkan tuan rumah apabila Lucas Silva pantas menyambar hantaran lintang Adib Ra’op pada minit 22 sebelum Alif Hassan menyamakan kedudukan buat Kuching City pada minit 62.
Kejayaan The Cats turut membuatkan pertahanan veteran, Rames Lai Ban Huat terharu kerana menjadi sebahagian daripada sejarah membawa nama Kuching City berada dalam kelompok lapan terbaik Piala Malaysia 2022.
"Sejurus tamat perlawanan, tidak ada kata-kata yang boleh digambarkan bagaimana gembiranya saya dan pemain-pemain lain kerana berjaya teruskan kemaraan.
"Saya telah bersama dengan kelab ini sejak di saingan M3 lagi dan ini merupakan satu pencapaian tertinggi Kuching City sejak bersaing di Liga Malaysia.
"Kehadiran penyokong yang agak luar biasa sekitar 5,000 pada perlawanan semalam juga menjadi pembakar semangat kepada kami dan harap semasa berdepan Sabah, situasi sama akan berulang, ” katanya.