JAIS keluar pekeliling larang guna institusi agama berpolitik

Iklan
Pekeliling JAIS yang tular pada Rabu.

SHAH ALAM - Tular surat pekeliling Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berhubung larangan berpolitik di bawah institusi agama di negeri ini sepanjang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Berdasarkan surat tular bertarikh 2 November itu memaklumkan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah selaku ketua agama menitahkan semua institusi yang berada di bawah kawalan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan JAIS hendaklah dikekalkan sebagai zon aman dan bebas daripada sebarang pengaruh dan unsur politik kepartian.

Iklan
Iklan

Menurut pekeliling itu, Sultan Sharafuddin tidak berkenan pegawai atau guru JAIS, penceramah bertauliah dan institusi yang berada di bawah kawalan MAIS atau JAIS terlibat dengan perkara atau aktiviti yang berbentuk politik kepartian.

"Bagi merealisasikan hasrat ini, baginda turut menitahkan agar solat fardu lima waktu, solat Jumaat, tazkirah dan khutbah Jumaat (khatib bertugas) hanya dibenarkan untuk diimamkan dalam kalangan imam atau khatib yang dilantik oleh MAIS.

Iklan

"Teks khutbah Jumaat yang dikeluarkan oleh JAIS mengikut tajuk mingguan yang ditetapkan hendaklah dibaca sepenuhnya dan tidak boleh dipinda atau ditokok tambah," menurut pekeliling terbabit.

Pekeliling itu turut memberitahu, Exco Hal Ehwal Islam juga tidak dibenarkan berucap atau berceramah di mana-mana masjid, surau, musolla atau sekolah bawah kawalan JAIS sepanjang tempoh musim pilihan raya di negeri ini.

Iklan

Sehubungan itu, pekeliling itu memaklumkan, semua umat Islam dipohon untuk memberi kerjasama sepenuhnya dalam menjunjung titah Sultan Sharafuddin.

"Kegagalan mematuhi titah Sultan Selangor tersebut merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 12 (a), Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 iaitu menghina kuasa yang sah, atau mengingkari, melanggar dan mempertikaikan perintah atau arahan Sultan Sharafuddin atas sifat baginda sebagai Ketua Agama Islam," jelas pekeliling terbabit.

Sementara itu, Sinar Harian sedang mendapatkan JAIS untuk mengesahkan pekeliling berkenaan.