KJ akui gemuruh bertanding di Sungai Buloh

Iklan
KJ dikerumuni penyokong BN Sungai Buloh.

SUNGAI BULOH - Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengakui gemuruh untuk bertanding di Parlimen Sungai Buloh yang merupakan kubu kuat Pakatan Harapan (PH).

Penyandang kerusi Rembau itu berkata, BN tewas dengan majoriti 20,000 di kawasan itu pada 2018 namun menganggap hal itu sebagai cabaran buat dirinya menawan kembali kerusi tersebut.

Iklan
Iklan

Menurutnya, walaupun menang tiga penggal di Rembau namun dirinya adalah calon 'underdog' di Sungai Buloh dan perlu bekerja keras untuk mencapai kemenangan.

"Mestilah gemuruh sebab saya (sebelum ini) bertanding di Parlimen Rembau dan tiga kali menang.

Iklan

"Setiap kali turun gelanggang ada rasa gemuruh tapi itu kawasan kita. Sekarang bertanding di kawasan baru dan kawasan hitam jadi saya akan cuba yakinkan pengundi.

"Walaupun saya calon dari kawasan lain sebelum ini, tetapi telah diterima dengan seadanya dari pimpinan tempatan.

Khairy Jamaluddin (empat dari kiri) Majlis bersama KJ di pekarangan UMNO Sungai Buloh pada Rabu.

Iklan

Kehadiran KJ disambut ribuan penyokong yang hadir mendengar taklimat Menteri Kesihatan itu buat pertama kali selepas diumumkan sebagai calon di kerusi itu pada Selasa.

Beliau berkata, pihaknya akan melancarkan manifesto 'kata janji Sungai Buloh' pada minggu depan sebagai komitmen untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada pengundi.

"Manifesto ini bukan menjanjikan bulan bintang tapi manifesto khusus bagi setiap lokaliti dan Pusat Daerah Mengundi (PDM). Ini bagi menunjukkan BN buat kerja secara teliti, kita tak cakap umum sahaja tetapi berikan komitmen di setiap lokaliti.

"Cara kempen saya bukan hanya bercakap tapi turut mendengar. Saya akan adakan sesi townhall (pendengaran awam) dan beri ruang orang Sungai Buloh bersuara.

"Saya orang baru di sini, biarlah mereka bercakap luahkan segala perasaan dan harapan mereka kepada calon. Jadi kalau saya dipilih, insya-ALLAH saya tahu apa yang dimahukan penduduk di sini," katanya.