KANGAR - Calon BN Parlimen Kangar, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya tidak mahu menjanjikan ‘bulan bintang’ sebaliknya mahu membuat manifesto yang mampu ditunaikan sekiranya memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.
Fathul Bari berkata, peluang yang diberikan pucuk pimpinan parti kepada beliau merupakan satu tanggunjawab dan amanah besar yang perlu digalas bagi memenangkan BN di Kangar.
"Apabila dicalonkan di kerusi Parlimen Kangar ini, sudah tentu ia satu tanggungjawab yang berat untuk digalas. Apatah lagi, jika diberi mandat orang pengundi-pengundi di Parlimen Kangar.
"Manifesto bukanlah kitab suci tetapi aku janji yang harus ditunaikan kepada masyarakat. Sebab itu, saya tidak mahu terlalu berjanji kepada rakyat takut tidak dapat tunaikan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.
Menurut Fathul Bari yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO, beliau akan mengkaji manifesto BN pusat yang bertemakan Kestabilan dan Kemakmuran dan negeri sebelum disesuaikan dengan kawasan Parlimen Kangar.
"Saya akan terus membawa pendekatan politik servis di kawasan Kangar ini dengan rakyat boleh menilai calon dan parti yang terbaik. Saya sendiri sejak lima tahun lepas sudah memulakan gerak kerja membantu rakyat.
"Perkhidmatan di kawasan Kangar sejak lima tahun kebelakangan ini diharap diterjemahkan oleh rakyat dengan memberi peluang kepada saya benar-benar menjadi wakil orang Kangar bagi membawa segala permasalahan atau isu kawasan ke peringkat Pusat,” ujarnya.
Fathul Bari bakal berdepan penyandang kerusi Parlimen Kangar, Noor Amin Ahmad serta calon dari Perikatan Nasional (PN) dan Parti Warisan Sabah (Warisan) yang sudah mengumumkan calon bertanding di kawasan tersebut.