Reda kunci kepada ketenangan hidup

Iklan

HIDUP tidak selalu indah. Kita sentiasa berharap sesuatu yang terbaik dalam kehidupan kita. Namun hakikatnya kehidupan kita tidak selalu mengikut apa yang kita harapkan.

Perjalanan hidup memang tidak sentiasa indah seperti yang diimpikan. Ia adalah fitrah. Seperti siang yang terang bersilih ganti dengan malam yang gelap-gelita. Seperti roda yang berpusing, sekali di atas sekali di bawah.

Iklan
Iklan

Kita akan diuji melalui kejayaan ataupun kesenangan dan juga masalah mahupun musibah. Lazimnya setiap insan akan melalui pengalaman ini. Sebab itu agama mengajar kita untuk membina kehidupan atas tapak keimanan. Apabila memperoleh kejayaan atau kesenangan, kita wajib bersyukur kepada Yang Maha Berkuasa. Apabila kita ditimpa masalah, kita wajib bersabar dan bertawakal.

Erti reda dengan ketentuan Tuhan

ALLAH memperingatkan kita melalui firman-Nya:"Janganlah kau bersikap lemah, dan janganlah kamu bersedih hati, padahal kamulah orang yang paling tinggi (darjatnya) jika kamu orang yang beriman." (Surah Ali Imran 3:139)

Iklan

Kita harus sedar dan yakin bahawa saat menghadapi ujian, ALLAH SWT mengetahui keadaan kita. Oleh sebab itu, Dia tidak akan menguji hamba-Nya di luar batas kemampuannya. Hal ini secara tegas dinyatakan dalam al-Quran:"ALLAH tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (daripada kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (daripada kejahatan) yang dikerjakannya...” (Surah Al-Baqarah 2:286).

Selain itu, kita juga harus ingat bahawa setiap kesulitan pasti ada jalan keluar. Ini bukti cinta kasih ALLAH kepada kita, sebagaimana firman-Nya:

Iklan

"Kerana sesungguhnya, sesudah kesulitan itu ada kemudahan. Sesungguhnya, sesudah kesulitan itu ada kemudahan.” (Surah Al-Insyirah 94:5-6).

ALLAH SWT pasti akan menepati janji-Nya dan tidak ada keraguan dengan itu. Yakinlah bahawa kebahagiaan yang akan kita dapat selepas mengalami kesulitan.

Jalan keluar daripada kesulitan juga bergantung kepada ketakwaan seseorang. ALLAH sentiasa memberikan kemudahan dan jalan keluar bagi orang-orang yang bertakwa. Ingatlah dan renungkanlah firman ALLAH berikut:"...Barang siapa bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar, dan memberinya rezeki daripada sumber yang tiada disangka-sangkanya dan barang siapa yang bertawakal kepada ALLAH, nescaya ALLAH akan mencukupkan (keperluan)nya...” (Surah Al-Thalaaq 65:2-3).

Kita perlu yakin bahawa pertolongan ALLAH itu dekat dan berharaplah yang baik-baik kepada-Nya. ALLAH berbuat kepada hamba-Nya sesuai dengan harapan hamba-Nya, maka hendaknya kita selalu berprasangka baik kepada ALLAH. Sebab, sebagaimana dinyatakan oleh Rasulullah SAW dalam hadis daripada Bukhari dan Muslim, ALLAH akan memperlakukan hamba-Nya sesuai dengan prasangkanya kepada ALLAH.

Senang difahami, sukar diamal

Apabila kita bercakap tentang reda dengan setiap ketentuan Ilahi, kita dapati ia adalah satu konsep dan ajaran yang senang difahami. Namun yang sukarnya ialah untuk mengamal dan menterjemahkan konsep dan ajaran tersebut dalam kehidupan harian kita. Kita manusia biasa yang mempunyai pelbagai kelemahan.

Kita mempunyai seketul daging yang bernama hati di mana berpusatnya segala nafsu. Hati kita sering terdedah pada hasutan serta bisikan iblis dan syaitan. Yang membuat keimanan kita kadang-kadang goyah adalah apabila kita berdepan dengan cabaran dan ujian.

Apabila diri kita dilanda masalah atau musibah, ada yang mempersoal dan mengeluh mengapa dia pula yang dipilih untuk menanggung seksa dan derita. Di sinilah beza antara insan yang kukuh dan padu dengan keimanan atau sebaliknya.

Kita tidak ada pilihan

Bagi yang benar-benar beriman dan bertawakal kepada-Nya, mereka tidak akan banyak takwil atau mempersoal tentang ketentuan Ilahi tetapi reda dan pasrah dengannya dengan mengingati pesanan-Nya:"...boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya. (Surah Al-Baqarah 2.216)

Jadi persoalan kepada pembaca sekalian, khususnya kepada golongan adik-adik yang masih mencari-cari erti dan makna kehidupan, apakah pilihan dan cara yang terbaik untuk menangani masalah atau musibah yang melanda diri kita?

Tidak salah jika kita berasa sedih apabila kita berhadapan dengan ujian atau musibah. Mengalirkan air mata dan menangis juga tidak salah kerana kita mempunyai hati yang merasa. Curahlah perasaan sedih anda kepada ahli keluarga atau sahabat yang menyayangi anda atau orang yang anda percayai agar terasa lega sedikit perasaan yang tertekan. Akan tetapi yang lebih pentingnya pengalaman pahit dan duka nestapa yang kita alami itu akan membawa diri kita lebih dekat dan rapat lagi dengan-Nya.

Sekiranya kita mendekati-NYA, masalah atau musibah boleh menjadi hikmah yang tersembunyi dan akhirnya berjaya menjadi satu rahmat yang besar kepada kita. Hikmah ini membuat iman kita menjadi lebih kental dan mantap sekaligus membentuk kita menjadi insan yang lebih baik lagi daripada masa yang silam. Kita pasti berjaya melalui cabaran getir yang kita hadapi dengan menjadi insan yang lebih beriltizam dan beristiqomah.

Bagaimana sukar sekalipun ujian yang dihadapi, kita perlu yakin bahawa pasti ada hikmah tertentu yang tersembunyi. Insya-ALLAH kehidupan kita akan menjadi indah jika hati benar-benar reda dengan ketentuan-Nya, dengan sepenuh ikhlasnya. Sejuk dan damai akan terpapar di wajah jika kita masih mampu mengukir senyum walaupun mata kelihatan sayu, tubuh merasa layu dan kekuatan badan menjadi lesu.

Kita terima dengan penuh reda bahawa setiap rencana-Nya, pasti ada hikmah. Kita terima hakikat bahawa dunia ini hanya sementara sahaja. Masalah dan musibah juga sementara. Begitu juga perasaan sedih, seksa dan derita. Yang kekal ialah akhirat termasuk syurga sharkawi yang kita idam-idamkan.

Dr Yusuf Qaradawi menyatakan bahawa seorang Islam harus bersikap reda terhadap perkara iaitu reda terhadap diri sendiri dan Tuhannya, reda terhadap alam dan hidup, reda terhadap takdir dan reda terhadap rezeki yang dikurniakan ALLAH SWT.

Usaha kemudian tawakal kepada Allah

Walaupun kita perlu reda dengan setiap ketetapan Ilahi, kita tetap berkewajipan untuk berusaha dan berikhtiar. Manusia diberi pilihan untuk mencorakkan hidupnya sendiri.

Nabi Muhammad SAW pernah bertanya kepada seorang Badawi yang meninggalkan untanya tanpa ditambat,"Mengapa kamu tidak menambat unta kamu?”

Orang Badawi itu menjawab,"Aku serahkan takdir dan bertawakal kepada ALLAH. Nabi Muhammad SAW kemudiannya menjawab,"Ikatkan dahulu unta itu, kemudian barulah bertawakal.”

ALLAH SWT berfirman:"Sesungguhnya ALLAH tidak akan mengubah nasib/keadaaan sesuatu kaum sehingga mereka sendiri mengubah keadaan yang ada pada diri mereka. (Surah Ar-Ra’d 13:11).

Kita tidak tahu apa yang ALLAH tulis dalam Loh Mahfuz tentang penyudahan hidup kita. Oleh itu selagi hidup, selagi jantung masih berdenyut dan nadi bergerak, kita wajar berusaha sebaik mungkin untuk mengubah keadaan kita ke tahap yang lebih baik. ALLAH berfirman:"Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. (Surah Al-Mukmin 23:60)

* Wan Haron Wan Hassan ialah seorang peguam