PRU15: Azhar tak gentar tanding di kubu kuat Hadi

Iklan
Azhar, Abdul Hadi

KUALA TERENGGANU - Calon import Pakatan Harapan (PH), Azhar Ab Shukur tidak gentar bertanding di kubu kuat Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang iaitu di kerusi Parlimen Marang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Azhar dari Parti Amanah Negara (Amanah) diramal berdepan saingan sengit malah ada yang menjangkakan beliau berdepan kehilangan deposit kerana kerusi berkenaan sinonim sebagai kubu kuat Pas sejak sekian lama.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, semangat anak kelahiran Sungai Besar, Selangor itu tidak goyah malah beliau yakin mampu mendapat sokongan yang tinggi di kerusi berkenaan.

"Senario politik di Marang ada kalanya di luar jangkaan. Boleh jadi berlaku gelombang perubahan diinginkan oleh penduduk di situ kerana selama ini mereka dibayangi oleh politik ekstrem sekali gus mewujudkan jurang antara mereka yang berbeza pandangan, fahaman serta pegangan politik.

Iklan

"Saya lihat ada peluang untuk menang di kerusi berkenaan atau setidak-tidaknya memperoleh peningkatan undi di situ," kataya ketika ditemui pemberita di sini, pada petang Rabu.

Menurut Azhar, agenda utama yang ingin dibawa ialah memurnikan fikrah (pemikiran) umat Islam di Marang.

Iklan

"Saya harap dapat bawa perubahan fikrah agar suatu masa nanti Marang akan dikenali sebagai masyarakat yang berkasih sayang walaupun berbeza pandangan atau pegangan politik.

Azhar sebelum ini pernah menjadi calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar pada 18 Jun 2016 namun tewas kepada calon BN, Budiman Mohd Zohdi yang memperoleh 16,800 undi.

Azhar hanya mendapat 7,069 undi manakala calon Pas, Dr Abdul Rani Osman menerima 6,902 undi.

Pada PRU14 lalu, Abdul Hadi yang merupakan penyandang kerusi Parlimen Marang memperoleh 53,749 undi dengan majoriti 21,954 menewaskan calon BN, Mohamad Nor Endot (31,795 undi) dan calon PH, Zarawi Sulong (5,138 undi).