JOHOR BAHRU - Kemelut melibatkan BN di Bahagian Tenggara yang mencetuskan kontroversi berhubung calon dilihat memberi kelebihan kepada Perikatan Nasional (PN) yang menurunkan calon berpengalaman di kawasan itu.
Calon Pas Parlimen Tenggara, Leftenan Kolonel (B) Mohd Nazari Mokhtar berkata, ketiadaan penyandang kerusi Parlimen Tenggara, Datuk Seri Dr Adham Baba merupakan kehilangan besar kerana ikon politik itu merupakan seorang yang amat mesra selain dihormati.
Beliau yang pernah menjadi calon Pas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson menentang Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu dirinya bersahabat baik dengan Dr Adham yang sering berkongsi pengalaman sebagai pemimpin serta ahli Parlimen.
"Saya bersimpati dengan nasib sahabat baik saya Dr Adham. Saya tidak pasti apa yang akan berlaku membabitkan kem BN di Tenggara. Namun sebagai calon PN sudah tentu saya akan menggempur kawasan Tenggara kerana peluang kini terbuka luas.
Beliau berkata demikian selepas pengenalan calon Pas Johor bagi PN di Ibu Pejabat Pas Johor pada Rabu.
Selain Mohd Nazari yang akan bertanding di Parlimen Tenggara, Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Husin pula ditampilkan sebagai calon PN di kerusi Parlimen Muar, Timbalan Pesuruhjaya Pas Johor, Dr Abdul Karim Deraman di Parit Sulong dan Zanariyah Abdul Hamid (Sri Gading).
Dalam pada itu, Abdullah yang bertanding di Muar menjelaskan beliau tidak memandang mudah dua calon muda yang ditampilkan parti lawan iaitu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda) dan Mohd Helmy Abd Latif (BN).
"Setiap pengundi mempunyai kriteria calon yang dicari, penerimaan pengundi juga berbeza ada yang mengambil kira faktor pengalaman, integriti dan sebagainya.
"Jadi, kita ada pendekatan dan strategi tersendiri untuk berdepan calon di Muar termasuk dari Muda," jelas beliau.