Jepun keluarkan amaran salah peluru berpandu

Iklan
Yasukazu Hamada -Foto: AFP


TOKYO - Sebuah peluru berpandu Korea Utara tidak terbang di ruang udara Jepun pada Khamis walaupun pihak berkuasa mengeluarkan amaran kepada penduduk di beberapa kawasan, kata Menteri Pertahanannya, Yasukazu Hamada.

Pada awal Khamis, sistem J-Alert negara itu diaktifkan dan penduduk di wilayah utara Miyagi, Niigata dan Yamagata telah dihantar sebagai amaran untuk berlindung atau tinggal di dalam rumah.

Pejabat Perdana Menteri Jepun pada mulanya berkata, peluru berpandu terbang di ruang udara Jepun pada kira-kira jam 7.48 pagi tetapi Hamada kemudiannya menyatakan amaran itu telah dikeluarkan secara silap.

"Selepas menyemak maklumat ini, kami mengesahkan bahawa peluru berpandu itu tidak merentasi kepulauan Jepun tetapi hilang di atas Laut Jepun.

"Kami sedang menganalisis sebabnya ia hilang," tambahnya.

Ia berlaku selepas sebuah lagi peluru berpandu yang dilancarkan oleh Korea Utara bergerak ke ruang udara Jepun pada 4 Oktober lalu dan sehari selepas Pyongyang melancarkan serangan peluru berpandu dan artileri ke arah Korea Selatan.

Penyiar kebangsaan NHK berkata, kerajaan Jepun tidak memberi arahan untuk memintas peluru berpandu itu yang turut menyebabkan perkhidmatan sistem kereta api laju negara itu digantung buat sementara waktu di beberapa kawasan. - AFP