ALOR GAJAH - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Melaka dan Negeri Sembilan menahan dua lelaki warga asing dipercayai pendatang asing tanpa izin (Pati) yang cuba menyeludup masuk melalui jalan tidak diwartakan di kedudukan kira-kira 0.1 batu nautika dari Kuala Linggi, di sini awal pagi semalam.
Pengarah Maritim Malaysia Melaka dan Negeri Sembilan, Kapten Maritim Amran Daud berkata, penahanan tersebut dilakukan sewaktu pihaknya sedang melaksanakan rutin operasi harian kira-kira jam 5.45 pagi.
Menurutnya, hasil maklumat risikan terdapat pergerakan masuk bot yang mencurigakan dari negara jiran, Indonesia menuju ke perairan Kuala Linggi.
"Bot peronda Maritim Malaysia berjaya mengesan dan menahan sebuah bot gentian kaca tanpa nombor pendaftaran sepanjang 1.5 meter menggunakan enjin sangkut 60 kuasa kuda sekitar jam 6 pagi.
"Terdapat dua warga asing lelaki terdiri daripada seorang warga Bangladesh berusia 31 tahun dan warga Ghana berusia 41 tahun manakala seorang lagi dipercayai tekong yang melarikan diri ke darat berjaya ditahan oleh pihak polis.
"Kesemua mereka yang ditahan termasuk tekong akan disiasat mengikut Akta Imigresen dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Amran, berdasarkan siasatan awal, pihaknya percaya bot yang ditahan itu menjalankan aktiviti penyeludupan keluar masuk Pati melalui jalan yang tidak sah dan dipercayai datang dari Dumai, Indonesia.
"Siasatan awal ke atas kedua-dua suspek juga mendapati mereka memasuki ke negara ini untuk mencari pekerjaan di sekitar Terengganu dan Kuala Lumpur," katanya.
Jelas beliau, sehingga suku tahun ini, Maritim Malaysia telah berjaya melakukan 12 kes tangkapan melibatkan PATI di bawah Akta Imigresen dan ATIPSOM.
"Kami akan terus meningkatkan operasi penguatkuasaan bagi membanteras dan menyekat aktiviti jenayah rentas sempadan di perairan Melaka dan Negeri Sembilan terutama menjelang musim perayaan.
"Orang ramai diminta menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah dan kecemasan di laut menerusi Pusat Operasi Maritim Negeri Melaka & Negeri Sembilan di talian 06-3876730 dan MERS 999 yang beroperasi secara 24 jam," katanya.