SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF) memutuskan akan memberi sokongan sepenuhnya kepada BN dan UMNO dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Presidennya, Tan Sri Rozali Ismail berkata, keputusan tersebut dibuat susulan mengambil kira pelbagai faktor termasuk rekod dan pencapaian pimpinan parti tersebut.
Menurutnya, UMNO dan BN terus-menerus memberi sumbangan, bantuan dan masih bertanggungjawab menjaga kepentingan peneroka serta generasi baharu semasa menjadi kerajaan ataupun tidak.
"Walaupun terdapat banyak kes-kes yang tidak menyenangkan melibatkan urus tadbir Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan Felda Global Venture (FGV), ianya adalah bersifat prestasi individu dan bukan dari parti UMNO dan BN.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi GWGF dan Badan-badan Gabungan di Wisma Rozali pada Khamis.
Pada 17 Julai lalu, Rozali mengumumkan kesediaannya untuk bertanding sebagai calon pada PRU15 akan datang atas tiket parti baharu mewakili Felda di bawah naungan GWGF.
Bagaimanapun, beliau dan kepimpinan tertinggi GWGF membuat keputusan untuk tidak bertanding dan mewujudkan parti baharu dalam PRU15.
Rozali berkata, ia bertujuan bagi mengelakkan kekeliruan akibat terlalu banyak parti yang diketuai oleh orang Melayu serta mengambil kira faktor kesatuan ummah.
"Jika terdapat mana-mana individu dari GWGF yang bertanding di PRU15 ini yang mewakili parti-parti lain selain BN, maka keputusan itu adalah keputusan peribadi mereka sendiri dan tidak mewakili GWGF.
"Namun jika terdapat ahli GWGF yang bertanding mewakili parti UMNO dan BN, maka pihak GWGF akan membantu dan menyokong calon ini," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, dasar BN dan UMNO dalam membela peneroka dapat diteruskan jika diberi peluang membentuk kerajaan selepas PRU15.
Katanya, banyak permasalahan peneroka yang masih belum diselesaikan dan disuarakan oleh GWGF sebelum ini seperti masalah air, perumahan generasi baharu, urus tadbir FGV, pengurusan ladang dan pembangunan masyarakat Felda.
"Ini antara perkara-perkara yang kita perjuangkan dan harap kerajaan yang ditubuhkan ini dapat melihatnya dan menyelesaikan sebaik mungkin.
"Secara amnya, UMNO dan BN dapat menjamin keharmonian kaum daripada pelbagai bangsa yang hidup aman damai, sama-sama mengecapi dan mendapat faedah dari kemajuan negara yang kita cintai," katanya.