Tambun, Larut dan Bagan Datuk kerusi panas

Iklan
Mohd Yusri (tengah) ketika sidang akhbar di IPK Perak pada Khamis.

IPOH - Kerusi Parlimen Tambun, Parlimen Larut dan Parlimen Bagan Datuk dikenal pasti sebagai lokasi panas menjelang hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada Sabtu ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, lokasi tersebut dikategorikan sebagai kawasan panas bagi PRU kali ini berdasarkan calon-calon yang bertanding.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pertambahan keperluan anggota akan dilihat dari semasa ke semasa berdasarkan situasi di lokasi berkenaan.

"Setakat ini, mengikut laporan yang diterima hanya tiga kawasan 'hotspot' di Perak iaitu di (Parlimen) Tambun, Larut dan Bagan Datuk. Kita akan mengenal pasti dan membuat kajian jika berlaku pertembungan dan kecenderungan berlakunya ketidakamanan, kita akan menambah kekuatan anggota di kawasan tersebut.

Iklan

"Itu bergantung kepada ketua polis daerah. Dia akan meninjau, melihat dan mengumpul maklumat untuk membuat penugasan di kawasan atau pusat penamaan calon," katanya kepada pemberita ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini pada Khamis.

Beliau berkata, semua ketua polis daerah telah mengadakan perjumpaan bersama wakil parti yang bakal bertanding dan memberikan penerangan mengenai peraturan sepanjang tempoh PRU15.

Iklan

Sementara itu, Mohd Yusri memaklumkan, sepanjang tempoh berlangsung PRU15, seramai 7,963 pegawai dan anggota terlibat dan diatur gerak bermula pada hari penamaan calon, berkempen, undi awal dan hari mengundi.

Menurutnya, polis Perak turut mendapatkan bantuan anggota daripada polis bantuan seramai 254 orang.

Katanya, selain itu seramai 1,540 anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) juga dilibatkan bagi membantu mengawal lalu lintas pada hari penamaan calon dan hari pengundian.

"Kita mengingatkan kepada semua pihak supaya jangan ada provokasi berlebihan terhadap isu-isu sensitif seperti isu agama, perkauman serta institusi diraja yang boleh menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan, benci-membenci atau memudaratkan keharmonian atau perpaduan.

"Polis Perak akan memastikan perjalanan PRU15 di Perak berjalan lancar, sempurna dan selamat," katanya.