KUANTAN - Perikatan Nasional (PN) Pahang mempertaruhkan barisan 56 calon terbaik untuk bertanding di 14 kerusi Parlimen dan di 42 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.
Pengerusinya, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, daripada keseluruhan calon yang diumumkan,lebih 30 peratus terdiri calon muda dan dua calon wanita.
Menurutnya, calon-calon terdiri dari pelbagai latar belakang termasuk agamawan, profesional, ahli perniagaan dan aktivis.
"Bagi PRU15 di Pahang, kita bertanding di semua kerusi Parlimen di mana tujuh kerusi ditandingi calon dari Pas dan tujuh lagi dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
"Bagi kerusi DUN, Pas bertanding di 24 kerusi, Bersatu (13 kerusi) dan Gerakan (5 kerusi)," katanya pada sidang akhbar sempena majlis pengenalan calon dan ikrar calon PN Pahang di sini pada Khamis.
Turut hadir Pesuruhjaya Pas Pahang, Rosli Abdul Jabar dan Pengerusi Gerakan Pahang Ranndy Yap Kim Heng.
Saifuddin berkata, PN Pahang juga telah ada calon untuk Menteri Besar dan manifesto yang akan diumumkan kelak.
Sementara itu katanya, PN Pahang memilih calon tanpa mengira calon parti lawan yang bertanding.
"Kita sediakan calon terbaik untuk masuk gelanggang mengikut perkiraan kita sendiri bukan melihat siapa lawannya.
"Yang penting kita bertanding secara sihat, bijaksana tanpa mengutuk atau menyerang peribadi calon lain," ujarnya.
Tambah beliau, dalam berkempen kena ada tatacaranya termasuk dengan pengundi.
"Tetapi dalam mengkritik salah laku, rasuah dan salah guna kuasa itu tanggungjawab kita menegakkan amal makruh nahi mungkar.
"Menyerang rasuah, penyelewengan akan diteruskan tanpa kompromi tapi bukan bukan serangan peribadi," jelasnya.
Sementara itu katanya, persiapan jentera berjalan lancar.
"Kita cantumkan jentera parti masing-masing justeru bagi setiap kawasan hanya ada satu bilik gerakan dan satu jentera sahaja," katanya.