Calon sabotaj akan digugur senarai nama dalam PRN

Iklan
Ahmad (tengah) bersama enam lagi calon BN yang bertanding pada PRU15.

KUALA TERENGGANU - Mana-mana calon yang bertindak mensabotaj parti kerana tidak terpilih kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini akan digugurkan daripada senarai calon di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berkata, tindakan yang akan dikenakan mengikut perlembagaan parti termasuk digugurkan nama dari senarai nama bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun depan.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, UMNO Terengganu telah menghantar lima senarai pendek nama yang akan dipilih untuk kawasan kerusi yang tewas serta enam senarai nama untuk kerusi yang menjadi milik UMNO ketika ini.

"Kita sudah serah senarai untuk kerusi DUN tetapi negeri Terengganu tak bubar DUN serentak dengan Parlimen. Jadi kita harap mereka yang disenarai pendek di Parlimen (namun tidak terpilih sebagai calon) itu bekerjalah untuk bantu parti.

Iklan

"Jangan nak sabotaj pula... kalau sabotaj juga, hai-hai bye-bye la. Sebab tak lama lagi PRN dalam tujuh atau lapan bulan sahaja," katanya dalam sidang akhbar selepas menyampaikan watikah pelantikan kepada tujuh calon BN bagi Parlimen Terengganu di sini pada Khamis.

Dalam pada itu, Ahmad berkata, tempoh sekarang ialah masa terbaik untuk menguji kesetiaan pemimpin terhadap parti.

Iklan

Katanya, pemantauan akan dilakukan sepanjang tempoh berkempen sama ada senarai calon akhir itu akan bekerja untuk memenangkan parti atau mensabotaj calon.

"Kita akan tengok masa pilihan raya ini, kita akan pantau mereka bekerja, sabotaj atau merajuk.

"Politik mana boleh merajuk. Politik ini, kita kena rasional, kalau ada rezeki, ada. Kalau tiada rezeki, ada lain masa pula....hari ini, giliran orang, esok lusa giliran kita pula," kata beliau.

Setakat ini, tujuh calon Parlimen telah diputuskan untuk bertanding kerusi BN di Terengganu.

Antara calon tersebut ialah Ahmad (Parlimen Kemaman), Datuk Nawi Mohamad (Besut), Datuk Abdul Rahman Mat Yasin (Setiu), Jasmira Othman (Marang), Nurhisam Johari (Dungun), Datuk Mohd. Zubir Embong (Kuala Terengganu), Datuk Rozi Mamat (Hulu Terengganu).

Satu lagi calon masih belum diketahui bagi mengisi kerusi Parlimen Kuala Nerus dan pengumuman calon bagi kerusi itu dijangka akan dimuktamadkan pucuk pimpinan parti pada petang Khamis.