'UMNO Sungai Buloh minta KJ ke sana' - Tok Mat

Iklan
Mohamad pada sidang akhbar di Wisma UMNO Negeri Sembilan

SEREMBAN - Keputusan UMNO menghantar Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar bertanding di Parlimen Sungai Buloh kerana kehadirannya dialu-alukan oleh UMNO Bahagian itu.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Parlimen berkenaan juga adalah kerusi selamat buat Khairy.

Iklan
Iklan

"Ketua UMNO Bahagian Sungai Buloh merupakan Setiausaha Politik kepada KJ dan UMNO di situ sangat mengalu-alukannya.

"Lebih baik KJ pergi ke sana daripada tempat lain yang tidak mahu terima dia. Jadi jangan salah faham dan Sungai Buloh juga adalah kerusi selamat dan pengundi Melayu di sana hampir 75 peratus," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Watikah kepada calon-calon BN Negeri Sembilan di Wisma UMNO Negeri Sembilan pada Khamis.

Tambah beliau, pengundi Sungai Buloh juga memerlukan calon dari UMNO dan beliau yakin Khairy akan cemerlang di sana ditambah pula sokongan diterima daripada jentera parti.

Iklan

Ujarnya, parti boleh saja meletakkan Khairy di tempat lain, misalnya di Shah Alam, tetapi tidak mahu berbuat demikian.

"Bagi saya penghijrahan KJ ke sana bagus untuk dia kerana dia mempunyai karier politik yang masih panjang," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan Khairy menyatakan keterbukaannya menyerahkan kerusi Parlimen Rembau kepada Mohamad semasa ucapan penggulungannya pada Persidangan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Rembau.

Mohamad memaklumkan, Khairy akan diberikan kerusi yang sesuai pada PRU15 ini berikutan beliau merupakan pemimpin muda berkaliber dan baik untuk negara.