KOTA KINABALU - [DIKEMAS KINI] Parti Warisan (Warisan) setakat hari ini mengesahkan untuk bertanding di 52 kerusi Parlimen seluruh negara pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Beliau berkata, daripada jumlah itu Warisan bertanding di kesemua 25 kerusi Parlimen di Sabah, satu di Labuan, manakala 26 kerusi Parlimen lagi di Semenanjung.
"Bila kita nak bertanding kena pastikan boleh menang, bukan nak tanding memenuhi kehendak orang...kita nak pertimbangan (calon) selain berkebolehan, berilmu, mampu memenanginya (kerusi ditandingi), kita mahu calon ini ada jiwa dia.
"Persoalan sama ada 52 kerusi (Parlimen ditandingi) kita yakin Sarawak dan Sabah satu blok penting, semua ahli Parlimen pertahan hak kita terutama MA63 (Perjanjian Malaysia 1963) jangan hanya janji," katanya pada sidang media selepas Pengumuman dan Penyampaian Watikah Calon PRU15 Warisan di sini hari ini.
Beliau berkata, Warisan sedang meneliti beberapa kerusi Parlimen lagi di Semenanjung untuk ditandingi dan tidak menolak menambah bilangan itu sekiranya mendapat maklum balas positif pengundi serta mempunyai calon mampu menang di kawasan berkenaan.
Sementara itu, pada majlis tersebut Mohd Shafie mengumumkan akan mempertahankan kerusi Parlimen Semporna yang disandangnya selama enam penggal, iaitu lima penggal di bawah Barisan Nasional (BN) bermula PRU9 pada 1995, manakala PRU14 pada 2018 atas tiket Warisan.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senallang, turut mengumumkan Timbalan Presiden Warisan, Datuk Darell Leiking yang juga ADUN Moyog akan mempertahankan kerusi Parlimen Penampang, manakala Ketua Penerangan parti, Datuk Mohd Azis Jamman mempertahankan kerusi Parlimen Sepanggar.
Antara calon mempertahankan kerusi Parlimen masing-masing ialah Ketua Wirawati Warisan, Isnaraissah Munirah Majilis (Kota Belud), Ahli Majlis Tertinggi (AMT) parti, Datuk Rozman Isli (Labuan) dan AMT parti Ma'mun, Sulaiman (Kalabakan).
Menurutnya, antara calon muka baharu pula terdiri daripada Ketua Wira Warisan, Mohd Ismail Ayob (Kinabatangan), Timbalan Ketua Wirawati parti, Jo-Anna Sue Henly Rampas (Tuaran) dan Ketua Bahagian Warisan Ranau Markos Siton (Ranau).
Selain Mohd Shafie dan Darrel, ADUN yang dicalonkan terdiri daripada ADUN Bongawan, Dr Daud Yusof (Kimanis) dan ADUN Sekong, Alias Sani (Batu Sapi), manakala bekas ADUN Lahad Datu, Datuk Mohammad Yusof Apdal yang juga adik Mohd Shafie bertanding di kerusi Parlimen Lahad Datu.
Mohd Shafie berkata, bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Bugaya, Warisan meletakkan peguam syariah, Jamil Hamzah.
Pada majlis sama, beliau turut mengumumkan tiga calon untuk kerusi di Semenanjung iaitu pemaju hartanah, Leong Cheok Lung di Parlimen Kampar (Perak), jurutera awam, Rahim Awang di Parlimen Kapar (Selangor), dan peguam, Leong Cheok Keng di DUN Malim Nawar (Perak).
Berikut senarai calon Warisan diumumkan hari ini untuk PRU15
SABAH
P167 Kudat - Rashid Harun
P168 Kota Marudu - Datuk Jilid Kuminding
P169 Kota Belud - Isnaraissah Munirah Majilis
P170 Tuaran - Jo-Anna Sue Henly Rampas
P171 Sepanggar - Datuk Mohd Azis Jamman
P172 Kota Kinabalu - Amanda Yeo
P173 Putatan - Ahmad Mohd Said
P174 Penampang - Datuk Darell Leiking
P175 Papar - Ahmad Hassan
P176 Kimanis - Dr Daud Yusof
P177 Beaufort - Masri Adul
P178 Sipitang - Datuk Adnan Puteh
P179 Ranau - Markos Siton
P180 Keningau - Rasinin Koutis
P181 Tenom - Ukim Buandi
P182 Pensiangan - Siti Noorhasmahwatty Osman
P183 Beluran - Rowiena Rasid
P184 Libaran - Sh Bokrata SH Hassan
P185 Batu Sapi - Alias Sani
P186 Sandakan - Alex Thien
P187 Kinabatangan - Mohd Ismail Ayob
P188 Lahad Datu - Datuk Mohammad Yusof Apdal
P189 Semporna - Datuk Seri Mohd Shafie Apdal
P190 Tawau - Chen Ket Chuin
P191 Kalabakan - Ma'mun Sulaiman
PRK DUN BUGAYA
N66 - Jamil Hamzah
LABUAN
P166 Labuan - Datuk Rozman Isli
PERAK
P070 Kampar - Leong Cheok Lung
N41 Malim Nawar - Leong Cheok Keng
SELANGOR
P109 Kapar - Rahim Awang
- Bernama