PEKAN - Calon BN bagi kerusi Parlimen Pekan, Datuk Seri Sh Mohamed Fuzi Sh Ali berkata, tidak timbul sebarang isu berhubung pengosongan kerusi terbabit, jika penyandangnya, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dibebaskan.
Beliau sebaliknya mahu memberi fokus kepada gerak kerja untuk memastikan BN memenangi majoriti besar pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
"Jadi yang (perkara) lain itu, saya fikir kurang penting untuk kita bicarakan. Kita hendak perjuangan nasib rakyat dan membentuk sebuah kerajaan yang stabil," katanya ketika ditemui pemberita di pejabatnya di Peramu Jaya pada Khamis.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pengosongan kerusi Parlimen Pekan sekiranya Najib dibebaskan daripada hukuman yang sedang dijalani ketika ini.
Sh Mohamed Fuzi menjelaskan, amanah rakyat akan diberikan keutamaan sekiranya diberikan mandat pada pilihan raya kali ini.
"Prinsip saya mudah, apabila saya diberikan mandat, saya akan menjalankan amanah tersebut dengan cara terbaik.
"Jadi apa yang penting sekarang, saya tidak perlu memikirkan perkara lain, selain berkhidmat untuk rakyat," ujar beliau yang sebelum ini menjadi wakil rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Peramu Jaya selama dua penggal.
Menjawab pertanyaan mengenai anak sulung Najib, Datuk Mohd Nizar Najib sepatutnya menjadi calon kerusi Parlimen Pekan, Sh Mohamed Fuzi menjelaskan, perkara ini diputuskan pucuk pemimpin BN.
Katanya, bagaimanapun untuk menjadi ahli Parlimen perlu ada satu pengalaman dan pendedahan khusus untuk menjadi seorang ahli Parlimen yang berkesan.
"Pucuk pimpinan memilih saya bukan kerana saya istimewa dan terbaik tetapi apa yang penting saya pernah berkhidmat di sini (Pekan). Saya tidak terasa janggal untuk melaksanakan segala usaha-usaha perjuangan untuk rakyat dan khusus menjaga Parlimen Pekan selama 10 tahun dan jadi ADUN selama dua penggal.
"Cuma apa yang ingin saya laksanakan nanti adalah berdasarkan acuan yang telah dibentuk (oleh Najib) dan saya yakin acuan yang dibentuk ini dapat membuahkan hasil yang terbaik untuk rakyat untuk Parlimen Pekan," jelas beliau.