KUANTAN- Dua beranak antara 24 nelayan warga Vietnam yang ditahan ketika melakukan aktiviti penangkapan ikan secara haram di perairan Pekan, semalam.
Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Pahang, Datuk Azahari Othman berkata, kesemua mereka yang ditahan berusia antara 14 hingga 54 tahun didapati menggunakan dua bot pukat gading di kawasan 41 batu nautika daripada Tanjung Sekukuh Pekan, jam 10.45.
Menurutnya, dua tekong bersama 22 awak-awak itu, dipercayai pernah terlibat dengan aktiviti menangkap ikan di perairan daerah ini.
"Kita telah rampas dua bot termasuk pukat, peralatan mengesan ikan dan hasil tangkapan ikan serta sotong yang berjumlah 1.5 tan. Kesemua barang yang dirampas itu dianggarkan bernilai lebih RM1.8 juta.
"Selain itu, kita juga menjumpai beberapa kotak simpanan peti sejuk dalam bot itu ialah ikan baja yang sedia untuk dipindahkan.
"Semua hasil tangkapan ini akan dilelong dan kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985," katanya, hari ini.
Jelasnya, dua bot Vietnam berkenaan kini ditempatkan di Jeti Perikanan Padang Lalang.
Dalam pada itu, Azahari berkata, penahanan ini adalah hasil daripada aktiviti pemantauan dan rondaan 10 anggota Cawangan Perlindungan Sumber Jabatan Perikanan Negeri Pahang yang menggunakan dua bot peronda laju.
"Kita akan melakukan pelbagai cara untuk memastikan kegiatan menceroboh perairan negara oleh nelayan warga asing dapat dihapuskan malah sokongan dari nelayan tempatan juga diperlukan bagi memberi maklumat kehadiran nelayan asing di perairan negeri ini,” katanya.
Beliau berkata, sebanyak dua kes membabitkan nelayan asing ditahan di perairan Pekan dalam tempoh empat bulan pada tahun ini.
Jelasnya, tangkapan pertama bulan lalu membabitkan dua bot bersama 21 nelayan warga Vietnam.