SHAH ALAM - Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan calon parti komponen itu bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) perlu menandatangani surat aku janji.
Ahmad Zahid berkata, dalam usaha BN berusaha menyebarkan kebenaran, terdapat pihak yang gigih menularkan surat aku janji palsu yang kononnya perlu ditandatangani oleh calon UMNO.
Menurutnya, lawan BN dilihat berterusan menabur fitnah sebagai bahan kempen.
"Mereka fikir BN macam mereka agaknya sejurus menang PRU14 dan jadi kerajaan terus menggugurkan kes-kes mahkamah melibatkan pemimpin dalaman parti.
"Kemudian menzalimi pemimpin-pemimpin BN yang setia mempertahankan parti dan membelai yang tunduk serta patuh kepada tuntutan mereka," ujarnya dalam satu kenyataan di laman Facebook pada Khamis.
Sebelum ini, surat aku janji yang perlu ditandatangani oleh calon BN tersebar di media sosial.
Antara isi kandungan aku janji tersebut ialah ikrar calon UMNO dan BN yang menang pada PRU15 untuk mencalonkan serta menyokong Ahmad Zahid sebagai Perdana Menteri.
Tambah Ahmad Zahid, fitnah terbaharu lawan BN itu menjadi bukti jelas lagi kukuh mengapa rakyat perlu menolak dan pastikan mereka ini tidak menang apatah menjadi kerajaan semula.
"Hentikanlah politik menipu dan merapu seperti ini. Dulu mungkin mudah untuk mereka membohongi dan memperdaya rakyat dengan taktik sebegini.
"Namun, hari ini rakyat Malaysia adalah masyarakat yang rasional dan mudah memahami antara kebenaran dan kebatilan. Tidak sukar mereka membaca pembohongan itu," beritahunya.