Surat aku janji palsu: BNComms buat laporan polis, SKMM

Iklan
Dazma (empat dari kiri) menunjukkan salinan laporan polis yang dibuat semasa sidang media di Menara Dato Onn di WTCKL, pada Khamis.

KUALA LUMPUR - Pasukan Komunikasi Barisan Nasional (BNComms) membuat satu laporan polis di Balai Polis Dang Wangi di sini, pada Khamis berhubung tular dokumen surat aku janji palsu di sosial media membabitkan calon gabungan tersebut dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Setiausaha BNComms, Dazma Shah Daud, berkata, satu laporan turut dibuat di Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) terhadap penyebaran bahan palsu tersebut yang mendakwa calon Ahli Parlimen BN dipaksa menandatangani surat solongan untuk melantik Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Perdana Menteri selepas pilihan raya.

Iklan
Iklan

"BNComms menyelar tindakan pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan perkara sedemikian," katanya dalam satu sidang media di Menara Dato Onn di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, pada Khamis.

Pada Rabu, tular surat mengandungi senarai aku janji bertarikh 30 Oktober 2022, yang ditandatangani calon BN di Parlimen Lenggong iaitu Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah Shamsul Anuar.

Iklan

Dokumen dengan kepala surat UMNO itu memaparkan tandatangan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Aku janji itu antara lain menyatakan ikrar calon UMNO dan BN yang menang pada PRU15 untuk serta menyokong pencalonan Ahmad Zahid sebagai Perdana Menteri.

Iklan

Ia turut menyatakan ikrar bagi menyokong sebarang tindakan Presiden UMNO itu dalam sebarang perancangan dengan parti atau pakatan politik lain jika UMNO dan BN gagal membentuk kerajaan secara sendiri selepas PRU15.

Shamsul Anuar yang juga Pengarah Komunikasi BN pada Rabu dalam satu kenyataan mengesahkan surat aku janji yang tular itu adalah palsu.

Dazma berkata, laporan itu dibuat kerana penyebaran maklumat tidak benar itu memberi kesan tidak baik terutama terhadap pengamal media di dalam negara.

Dazma memaklumkan pihaknya akan turut melakukan laporan polis di beberapa negeri lain.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa sebarang penyebaran maklumat berkenaan BN hanya akan dikeluarkan melalui platform rasmi BN, BNComms dan UMNO Online.