PERNAH berdepan detik hampir maut akibat kemalangan jalan raya pada 2011, perenang Pulau Pinang, Firdaus Fariduddin Noordin bangkit daripada mimpi ngeri dengan melakar kejayaan pada temasya Para Sukan Malaysia (Para Sukma) 2022 pada Khamis.
Kelibat Firdaus ternyata mencuri tumpuan pada hari pertama renang Para Sukma 2022 dengan memecah rekod kebangsaan seterusnya merangkul emas acara 400 meter (m) gaya bebas lelaki S8-S9 (kecacatan fizikal) di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil.
Firdaus mencatat 6 minit dan 05.70 saat (s) untuk memadam rekod terdahulu milik Dato Anak Lamok dari Sarawak menerusi catatan 6:17.66s pada edisi 2018 di Perak.
Atlet berusia 23 tahun itu meninggalkan pesaing dari Sarawak, Emban Utik yang merangkul perak dengan merekodkan 6:54.79s serta Mohd Helmi Jasin dari Kedah menerusi catatan 7:34.38s.
Menceritakan kembali detik hitam dialaminya 11 tahun lepas, Firdaus berkata kemalangan jalan raya yang berlaku di Lebuhraya Utara Selatan dekat Bidor, Perak, mengakibatkannya hilang kaki kiri.
"Saya, emak serta kakak mahu pergi bercuti di Nilai sebelum bas yang saya naiki melanggar sebuah lori pasir...selepas kemalangan, saya bawa emak dan kakak turun.
"Selepas itu, saya perasan ada sebuah lagi lori merempuh bas. Ketika itu lah saya terus menolak emak dan kakak ke tepi sebelum bas tersebut tiba-tiba bergerak ke depan lalu menyebabkan enjin bas menghimpit sekali gus menghancurkan kaki kiri saya," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian pingat.
Bukan itu sahaja, cemuhan diterima sewaktu zaman persekolahan tidak melunturkan semangatnya untuk membuktikan kekurangan dialaminya bukan alasan untuk berjaya.
"Saya tak rasa kecewa selepas kemalangan, mungkin ketika itu saya belum dewasa lagi. Selepas tamat persekolahan, saya buat keputusan untuk mencuba sukan renang...Alhamdulillah berkat dorongan keluarga dan latihan dijalani selama ini, membawa saya sehingga ke tahap hari ini," katanya.
Sehubungan itu, beliau yang menjadikan legenda renang Amerika Syarikat Michael Phelps sebagai idolanya, berharap pencapaian dilakar ini dapat membuka jalan baginya untuk mewakili negara selepas ini.
Perenang kelahiran Batu Maung itu kemudian menambah koleksi pingat dengan merangkul gangsa acara 100m kuak lentang lelaki S9 (kecacatan fizikal) apabila melakar masa 1:30.67s.
Jaflee Jikol dari Sabah muncul juara dengan memperbaharui rekod kebangsaan miliknya sendiri iaitu 1:20.61s berbanding catatan terdahulu 1:27.91s di sebuah kejohanan Julai lepas manakala atlet Selangor, Muhd Safwan Suhaimi membawa pulang perak (1:27.47s). - Bernama