KANGAR - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perlis mengemukakan enam calon baharu bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR negeri, Nurul Izzah Anwar berkata, parti itu akan meletakkan sembilan calon dengan mengekalkan tiga penyandang kerusi DUN Indera Kayang, Sena dan Kuala Perlis.
"Enam kerusi yang menampilkan muka baharu adalah di Chuping, Mata Ayer, Pauh, Tambun Tulang, Guar Sanji dan Simpang Empat. Kebanyakan mereka mempunyai pelbagai latar belakang dan ada yang masih bergelar mahasiswa," katanya selepas Majlis Pengumuman Calon PKR Negeri Perlis.
Muka baharu bagi kerusi DUN adalah S Natthavuth (Chuping), Amran Kamarudin (Mata Ayer), Azhar Ameir (Pauh), Muhammad Syahmi Suhaimi (Tambun Tulang), Hasparizal Hassan (Guar Sanji) dan Amran Darus (Simpang Empat).
Penyandang yang dikekalkan adalah Gan Ay Ling (Indera Kayang), Asrul Nizan Abdul Jalil (Sena) dan Nor Azam Karap (Kuala Perlis).
Sementara itu, calon termuda yang ditampilkan PKR, Muhammad Syahmi Suhaimi, 23, berkata, dia sememangnya sudah bersedia untuk menggempur kubu kuat BN itu dan bergerak mendekati pengundi di kawasan berkenaan sejak tiga minggu lalu.
"Memang kawasan itu kubu kuat BN, namun, saya rasa rakyat sudah boleh menilai bagaimana keadaan di sana yang masih kekurangan fasiliti dan kemudahan buat masyarakat setempat,” ujar mahasiswa Universiti Malaysia Perlis (Unimap) itu.
Sembilan calon PKR DUN Perlis PRU15
Parlimen Padang Besar
N03 Chuping: S Natthavuth
N04 Mata Ayer: Amran Kamarudin
Parlimen Kangar
N07 Sena: Asrul Nizan Abd Jalil
N08 Indera Kayangan: Gan Ay Ling
N09 Kuala Perlis: Nor Azam Karap
Parlimen Arau
N11 Pauh: Azhar Ameir
N12 Tambun Tulang: Muhammad Syahmi Suhaimi
N13 Guar Sanji: Hasparizal Hassan
N14 Simpang Empat: Amran Darus