SHAH ALAM - Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kali ini, Parti Keadilan Rakyat (PKR) menetapkan syarat setiap calonnya perlu melakukan pengisytiharan harta.
Pengarah Pilihan Raya PKR, Rafizi Ramli pada berkata, langkah itu dilaksanakan untuk menghapuskan pandangan serong pengundi terutama dalam kalangan anak muda terhadap aset dimiliki pemimpin.
Menurutnya, setakat Khamis, PKR hampir selesai mengumpulkan kesemua dokumen pengisytiharan harta calon parti itu sebelum ia dimuat naik dalam laman web.
Dalam pada itu, semakan Sinar Harian di laman web calonkeadilan.org pada Khamis mendapati sebanyak 36 dokumen pengisytiharan harta oleh calon parti itu telah dimuat naik untuk tatapan umum.
Berdasarkan maklumat tersebut, calon PKR bagi kerusi Parlimen Tanah Merah, Mohamad Suparadi Md Noor direkodkan memiliki nilai harta antara tertinggi dalam kalangan calon parti itu dengan jumlah aset bersih setakat 30 September 2022 sebanyak RM106 juta.
Kira-kira RM100 juta aset dimiliki Mohamad Suparadi, 62 itu adalah daripada pelaburannya di DNS Capital Sdn Bhd dan iLimo Stalite LTD. (P&G) manakala sekitar RM5.3 juta pula merupakan aset hartanah.
Mohamad Suparadi pernah memegang pelbagai jawatan antaranya Pengarah Eksekutif Yayasan Hijrah Selangor pada tahun 2021, Pengerusi Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional (TEKUN) Nasional (2018) dan Pengarah Eksekutif Iris Corp.
Beliau mula memasuki arena politik pada tahun 1993 sebagai Ketua Pemuda UMNO, Bahagian Tanah Merah pada tahun 1993 dan menyertai PKR pada tahun 2018 sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Kelantan.
Dalam pada itu, calon PKR di Parlimen Sungai Buloh yang juga Timbalan Ketua Penerangan 1, PKR, Datuk R Ramanan pula direkodkan memiliki nilai aset bersih berjumlah RM63.5 juta dengan sebahagian daripadanya iaitu RM27 juta adalah dalam bentuk hartanah.
Sementara itu, Pengarah Komunikasi PKR yang juga calon Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil pula dicatatkan mempunyai nilai aset bersih sebanyak RM1.2 juta.
Dokumen pengisytiharan harta bagi beberapa kepimpinan tertinggi PKR yang turut dicalonkan seperti Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan beberapa Naib Presidennya seperti Datuk Seri Amirudin Shari serta Datuk Seri Aminuddin Harun dilihat masih dalam proses untuk dikemaskini ketika berita ini ditulis.
Pada Rabu, Rafizi yang akan bertanding mewakili PKR di Parlimen Pandan menjadi calon pertama mengisytihar hartanya dengan nilai aset bersih direkodkan berjumlah RM18.85 juta.
Kebanyakan aset milik Rafizi itu adalah daripada pelaburan saham dalam Invoke Sdn Bhd, iaitu syarikat tinjauan awam yang diasaskannya.
Pengisytiharan harta itu dibuat mengikut Akta Akuan Berkanun 1960.