SHAH ALAM - Tindakan Pakatan Harapan (PH) meletakkan calon 'heavyweight' bagi menentang nama-nama besar daripada parti lawan merupakan strategi gabungan itu untuk mengambil kesempatan daripada pertembungan parti-parti Melayu lain.
Penganalisis politik, Profesor Dr Ahmad Martadha Mohamed berkata, pertembungan di beberapa kawasan majoriti Melayu itu secara langsung akan menyaksikan berlakunya perpecahan undi dan dijangka turut memberi kelebihan kepada gabungan berkenaan mendapatkan sebahagian undi kelompok berkenaan.
Jelasnya, strategi digunakan PH itu bukan sesuatu yang baharu, sebaliknya turut digunakan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu memandangkan gabungan itu diketahui ‘lebih digemari’ pengundi bukan Melayu.
"Jadi, apabila berlaku perpecahan dalam undi Melayu yang mana kita lihat Perikatan Nasional (PN) dan BN turut bertanding, ia secara tidak langsung menjadi strategi PH untuk mendapatkan sebahagian daripada undi Melayu yang berpecah itu,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Setakat ini, dilaporkan sekurang-kurangnya terdapat 22 kerusi panas yang dilihat menjadi medan uji bagi parti politik di dalam negara untuk mempertaruhkan nama-nama besar pada PRU15 kali ini.
Persaingan di setiap kerusi tersebut menyaksikan sekurang-kurangnya dua daripada calon merupakan pimpinan tertinggi parti atau individu yang memiliki ketokohan serta memegang jawatan penting di dalam kerajaan.
Paling mendapat tumpuan tentunya persaingan di Parlimen Gombak apabila penyandangnya yang juga Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berusaha mempertahankan kawasan tersebut daripada dirampas oleh calon daripada bekas partinya iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR).
PKR dilihat benar-benar serius untuk memenangi kembali kerusi berkenaan apabila ia meletakkan Naib Presidennya yang juga Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bagi bersaing di kawasan itu.
Dalam pada itu, Ahmad Martadha yang juga Ketua Kluster Governans dan Integriti Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia berkata, strategi utama PH adalah untuk memecahkan undi PN dan BN dengan meletakkan calon Melayu yang memiliki jawatan di dalam parti.
Keadaan ini katanya akan membuatkan calon Melayu berpecah tiga dan turut memberi peluang kepada PH mendapat sebahagian undi daripada kumpulan berkenaan.