ISU pemimpin politik senior yang merajuk kerana tidak dicalonkan untuk bertanding berlaku setiap kali pilihan raya.
Bantahan dinyatakan melalui pelbagai cara seperti menutup bilik gerakan, menurunkan bendera dan poster.
Kemuncaknya bantahan ialah sanggup meninggalkan parti yang disertai sejak sekian lama dan bertanding atas tiket parti lain.
Kebanyakan yang membuat tindakan seperti itu adalah pemimpin yang ada nama dan mempunyai pengaruh, oleh sebab itu mereka berani membelakangi keputusan ketua.
Pun begitu, dalam proses untuk membersihkan pemimpin-pemimpin senior yang berkhidmat terlalu lama, ia perlulah dilakukan dengan adil dan melibatkan semua pemimpin.
Jangan ada pilih kasih kerana sikap pilih bulu itu sebenarnya yang membuatkan proses untuk meremajakan parti dilihat tidak telus dan hanya untuk kepentingan ketua semata-mata.
Sebenarnya, isu orang lama yang tidak mahu melepaskan jawatan dan memberikan peluang kepada orang bawah bukan sahaja berlaku di peringkat parti, tetapi turut berlaku di sesetengah jabatan kerajaan, agensi, pertubuhan bukan kerajaan hinggalah ke persatuan sukan.
Lihatlah di sekeliling kita pasti ada pegawai kerajaan yang sepatutnya bersara masih disambung kontrak setahun ke setahun yang menafikan peluang staf bawahan untuk dinaikkan pangkat.
Semua orang tidak berapa peduli jika yang disambung kontrak itu hebat, komited, permata bernilai dan disayangi staf semua peringkat.
Tetapi yang tidak disenangi ialah pegawai yang disambung kontrak atau pemimpin yang tidak mahu melepaskan jawatan itu ialah mereka yang menjadi liabiliti dan menyusahkan semua orang.
Keberadaan pemimpin serta pegawai seperti itu hanya akan menyebabkan parti atau jabatan menjadi terus mundur dan tidak dapat berfungsi seperti mana disasarkan.
Oleh itu, dalam soal kepimpinan sama ada dalam parti ataupun mana-mana peringkat, perlulah diletakkan satu garis masa khusus supaya apabila sampai masa ditetapkan, setiap individu itu perlu berundur.
Jika tidak, masalah sama akan tetap berulang dan tidak akan selesai sampai bila-bila kerana isu ini sudah berakar umbi terlalu dalam budaya di Malaysia.
Bersama lakukan perubahan kerana tanpa usaha daripada sekarang, rakyat negara ini akan terus berada di takuk lama dan ketinggalan setiap masa.