'Dunia politik banyak unsur negatif'

Iklan
Abdullah (kanan) diwawancara oleh Asmaliza dalam program Kompas Edisi Khas PRU-15 bertajuk Suara Hati Anak Seni pada Khamis.

SHAH ALAM - Senario dalaman dunia politik yang banyak mengandungi unsur negatif menjadikan bidang tersebut cuba dijauhi oleh golongan anak muda di negara ini.

Pensyarah muzik Universiti Teknologi Mara (UiTM), Abdullah Mohd Redza berpendapat, generasi muda mungkin tidak suka dengan percaturan dan permainan politik kerana banyak menampilkan unsur negatif berbanding sisi positif.

Iklan
Iklan

Beliau yang lebih dikenali Dollah Gambus Al-Linggi berkata, unsur negatif seperti pertelingkahan dan perbalahan melampau yang didedahkan secara umum menjadikan politik tempatan atau dunia politik kurang diminati atau diberi perhatian oleh anak muda.

Anak kelahiran Kuala Linggi, Negeri Sembilan itu menambah, anak muda terutama mereka yang cenderung kepada muzik atau hiburan, tidak suka kepada aksi pergaduhan berlebihan dalam kalangan ahli politik kerana jiwa orang seni adalah halus.

Iklan

"Pada pendapat saya, anak muda tidak berminat dengan dunia politik kerana apa yang mereka nampak berlaku di sekeliling mereka banyak dipenuhi dengan aksi gaduh-gaduh atau pertelingkahan.

"Jiwa anak muda terutama anak seni ini hatinya lembut dan halus. Mereka tidak suka kepada pergaduhan atau pertelingkahan, perbuatan tikam belakang serta perbuatan hasad dengki yang melampau," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu rancangan Kompas Rasuah Busters Edisi Khas PRU-15 bertajuk Suara Hati Anak Seni dihoskan oleh Asmaliza Mansor yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Khamis.

Mengulas lanjut, Abdullah berkata, proses dalam bidang muzik itu sendiri telah mengajar anak seni untuk saling bantu membantu terutama ketika berada di atas satu pentas bagi menghiburkan orang ramai.

Jelasnya, konsep yang diamalkan di atas pentas itu telah 'diserap' dalam kehidupan seharian pemuzik dan situasi itu bertentangan dengan dunia politik yang dilihat sering bercakaran.

Ditanya mengenai harapan sebagai anak seni, Abdullah memberitahu, kebanyakan anak seni dan golongan muda tidak ambil kisah siapa yang menerajui negara, asalkan negara dapat membangun dan ekonomi berada dalam keadaan stabil.

Sementara itu, ditanya ciri calon PRU15 yang perlu dipilih oleh anak muda, Abdullah berkata, meskipun tidak boleh mewakili pandangan daripada semua orang, namun lima ciri calon pemimpin yang boleh diberi pertimbangan adalah mereka yang bebas daripada sebarang kesalahan akhlak, rasuah atau terlibat dengan apa-apa jenayah.

Selain itu, tambah Abdullah, beliau secara peribadi tidak suka kepada calon pemimpin yang memburukkan ahli politik daripada parti lain dan lebih teruk jika memburukkan rakan politik di dalam satu parti yang sama.