TELUK INTAN - Musim pilihan raya bukan sahaja menghitung nasib kemenangan calon bertanding sebaliknya menjadi sumber rezeki tambahan buat sesetengah orang.
Bagi seorang pengusaha buluh di Batak Rabit di sini, boleh menarik nafas lega selepas menerima banyak tempahan sepanjang tempoh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Sebuah khemah di hadapan rumah Rulita Sari Ismail Fekri, 24, yang terletak di pekan Batak Rabit itu umpama lubuk rezeki kerana menerima tempahan daripada pelbagai wakil parti yang bertanding.
Rulita Sari berkata, dia sudah menerima lebih 15 panggilan sejak mengiklankan promosi jualan di Facebook.
"Seikat buluh ada 10 batang kami jual RM30 dan satu batang berharga RM3. Ada yang mahu membeli secara pukal, bergantung kepada keperluan pemasangan di lokasi masing-masing.
"Buluh ini kami tebang dari dusun datuk dari Sungai Durian, dekat seberang sungai," katanya yang juga berniaga buah durian dan kelapa biji.
Dia berharap limpahan rezeki ini berterusan kerana usaha membangunkan sesuatu perniagaan perlu melalui beberapa peringkat.
"Cuma buat masa ini tiada khidmat penghantaran buluh. Pelanggan kena ambil sendiri di sini,” katanya.
Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di beberapa premis di Arena Selekoh, Bagan Datuk mendapati rata-rata usahawan akui rezeki perniagaan mereka meningkat sejak pengumuman pembubaran Parlimen bulan lepas.
Pemilik kedai runcit yang ingin dikenali sebagai Kap Lun, 38, berkata, kehadiran pelanggan yang bertali arus sepanjang bulan ini menjadikan suasana di lokasi itu meriah.
"Ramai orang balik kampung dan mereka singgah sini beli pelbagai barangan. Kiranya jualan kami ada berbeza dengan bulan-bulan sebelum ini," katanya.
Senada dengan Lun, seorang pekerja di kedai Kontena Mara Selekoh, Najatul Husna Mohamed khusnan, 27, turut mengakui sambutan yang diterima terhadap kedainya menunjukkan kehadiran PRU15 satu rahmat besar buat dirinya dan usahawan kecil yang lain.
"Walaupun kedai kami yang menjual kambing perap sejuk beku masih baru dibuka, alhamdulillah dapat sambutan menggalakkan. Orang pun dah mula kenal kedai kami impak PRU15.
"Anggaran pelanggan sekarang 100 lebih dan insya-ALLAH bakal mencecah 300 orang ke 500 orang selepas ini," ujarnya.