PENYERANG Jerman, Timo Werner sah tidak akan beraksi bersama negaranya di Piala Dunia di Qatar yang bakal membuka tirainya 20 November ini.
Perkembangan itu diumumkan RB Leipzig awal pagi tadi yang memaklumkan pemain berusia 26 tahun itu mengalami kecederaan buku lali ketika pasukan itu menewaskan Shakhtar Donetsk, 4-0, dalam saingan Liga Juara-Juara semalam.
"Pemeriksaan hari ini di Leipzig menunjukkan ligamen di buku lali kirinya terkoyak.
"Oleh itu dia terpaksa melupakan semua aksi untuk baki musim 2022," kata kelab Bundesliga itu dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Dalam pada itu, jurulatih Jerman, Hansi Flick menyifatkan ketiadaan Werner adalah satu kerugian besar buat pasukannya.
Bagaimanapun beliau akur dengan perkembangan tersebut sambil berharap penyerang itu akan pulih secepat mungkin.
"Ketiadaan Timo kerugian besar buat pasukan. Kami perlukan penyerang berwibawa dengan rekod jaringan baik di peringkat antarabangsa dan kami terasa tanpanya.
"Kami berharap Timo dapat pulih secepat mungkin,” jelasnya.