SHAH ALAM - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan dakwaan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa ada pemimpin parti mahu mengecilkan kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November ini.
Ujar beliau, dakwaan tersebut disifatkan sebagai fitnah besar kerana setiap parti sudah tentu mahukan kemenangan besar termasuk parti baharu bertanding.
"Fitnah terdesak ini datangnya pemimpin yang selalu menggunakan agama untuk berkuasa dalam politik tetapi tidak menggambarkan erti perjuangan sebenar.
"Terlalu mudah mengkafirkan orang yang tidak bersetuju seperti amanat pernah dikeluarkan pada tahun 1981,” katanya dalam siaran di Facebook pada Jumaat.
Pada Khamis, Abdul Hadi mendakwa sebahagian pemimpin UMNO didakwa sengaja mengatur strategi bagi mengecilkan kemenangan BN sebagai langkah untuk membentuk kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) selepas PRU15.
Ulas Ahmad Zahid, UMNO khususnya BN secara keseluruhan terus memilih kesederhanaan dalam politik sesuai dengan masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Dalam pada itu, menurutnya, apa pun strategi kemenangan, ia juga sebahagian daripada langkah taktikal parti.
Katanya, perjuangan parti dan BN ini perlu merentasi gender serta etnik bagi menggabungkan segala strategi ke arah kemenangan dalam PRU15.
"Dalam isu gender memang kita sedaya-upaya memenuhi agar pengisian tersebut memenuhi permintaan wanita.
"Kita juga meletakkan calon wanita di Tanjong Karang sebagai mengiktiraf peranan perjuangan wanita.
"Namun dalam memastikan kemenangan perjuangan parti merentasi agenda gender maknanya peranan gender penting tapi aspek taktikal kawasan ditandingi calon juga merentasi faktor gender,” ujarnya.