Menyamar jadi anak untuk pinjam duit

Iklan
Mohd Wazir Mohd Yusof

KUANTAN- Percaya anak lelakinya benar-benar terdesak dan memerlukan wang untuk menjelaskan hutang, seorang warga emas dari Raub sanggup membantu dengan meminjamkan wangnya RM8,500 kepada anaknya itu.

Namun niat baik wanita warga emas itu memakan diri apabila ‘anak lelaki’ yang menghubunginya pada 9 April lalu rupanya ‘scammer’.

Iklan
Iklan

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, dalam kes itu suspek menggunakan modus operandi menghubungi mangsa menggunakan nombor tidak dikenali dengan menyamar sebagai ahli keluarga untuk meminta wang.

Menurutnya, dalam kejadian itu, mangsa menerima panggilan telefon daripada suspek menyamar sebagai anak lelakinya yang tinggal di Kuala Lumpur menggunakan nombor telefon tidak dikenalinya.

Iklan

"Suspek memberitahu kad pengenalan dan telefonnya tercicir dan itu nombor telefon baharu yang digunakan.

"Keesokan harinya dia menghubungi lagi mangsa dan mahu pinjam wang RM8,500 untuk membayar hutang dan berjanji akan memulangkan semula wang yang dipinjamkan itu,” katanya.

Iklan

Mohd Wazir berkata, mangsa kemudiannya memasukkan wang yang diminta dengan membuat dua transaksi pembayaran melalui sebuah akaun bank namun atas nama individu lain.

"Selepas berjaya memperdaya mangsa, suspek sekali lagi menghubungi warga emas itu memaklumkan jumlah hutangnya yang sebenar RM30,000 dan meminta lagi RM13,000.

"Ketika itu mangsa mula curiga dan menghubungi anaknya itu menggunakan nombor lama yang masih dalam simpanan dan panggilan itu dijawab.

"Menurut anaknya, dia tidak menukar nombor telefon dan kad pengenalannya juga tidak hilang malah menafikan ada meminjam RM8,500 daripada mangsa,” katanya.

Menyedari diri tertipu, warga emas itu membuat laporan polis semalam dan kertas siasatan kes itu dibuka untuk siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.