Che Asmah yakin punyai kekuatan sendiri lawan Rina

Iklan
Temubual bersama Calon Gerakan Tanah Air (GTA) Sepang, Datin Paduka Che Asmah Ibrahim di ibu pejabat Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) di Putrajaya pada Jumaat. Foto SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID.

PUTRAJAYA – Calon Gerakan Tanah Air (GTA) Sepang, Datin Paduka Che Asmah Ibrahim menyifatkan beliau mempunyai kekuatan tersendiri untuk melawan Ketua Wanita Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Rina Mohd Harun di kawasan berkenaan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Che Asmah yang juga Ketua Wanita GTA berkata, pihaknya menyerahkan kepada pengundi di kawasan Sepang untuk membuat penilaian mengenai apa yang boleh dilakukannya.

Iklan
Iklan

"Jadi saya kena bekerja keras untuk memperkenalkan diri,” katanya dalam satu temubual bersama beberapa media di ibu pejabat Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) di sini pada Jumaat.

Selain Rina, Che Asmah turut dijangka menentang Anuar Basiran (BN) dan Raj Munni @ Aiman Athirah (PH) di kawasan berkenaan.

Iklan

Dalam pada itu, Che Asmah yang telah menetap di Sepang kira-kira 22 tahun turut menyenaraikan beberapa perkara yang akan beliau bawa di kawasan ini sekiranya terpilih sebagai wakil rakyat.

"Sepang satu kawasan majlis perbandaran yang agak baru dan sedang membangun. Kalau kita lihat pembangunan perumahan baru banyak dibuka di Sepang. Jadi, saya rasa ini adalah masa yang baik untuk masuk dan saya berharap dapat menyumbang kepada konsep pembangunan di sini.

Iklan

"Saya mempunyai kemahiran dalam pengurusan alam sekitar. Saya lihat di Sepang perkara itu masih kita boleh rancang dengan baik dan kita patut belajar kesalahan di tempat lain.

"Saya amat berharap dapat menyumbang untuk membangunkan (Sepang) menjadi sebuah kawasan pembangunan lestari dan meraikan kampung-kampung tradisi ini. Tidak semestinya kampung tradisi ini diambil tanah mereka dan dibangunkan dengan rumah-rumah moden pencakar langit,” ujarnya.

Tegasnya, kampung-kampung tradisi di Sepang perlu dikekalkan di samping memastikan keperluan infrastruktur asas dipenuhi agar ia kekal sebagai sesuatu yang unik di kawasan ini.

Che Asmah yang juga bekas Pengarah Jabatan Alam Sekitar Selangor turut akan melihat masalah pencemaran ketara di Sepang iaitu banjir, babi dan pembakaran terbuka.

"Orang semua tahu kalau banjir sahaja, Sepang salah satu kawasan berisko tinggi terutama banjir kilat, banjir sewaktu monsun dan air pasang besar. Banjir kilat khususnya berlaku berkait cara kawasan-kawasan ini dibangunkan.

"Perkara kedua ialah masalah babi di Tanjung Sepat yang tidak selesai setelah beberapa kerajaan negeri memerintah. Saya pernah terlibat dalam mengenal pasti kaedah rawatan yang terbaik untuk sistem penternakan babi itu tetapi akhirnya saya lihat tidak ada kehendak politik untuk melaksanakannya sehingga hari ini status adalah sama.

"Bagi selesaikan masalah ini, kita perlu kehendak politik daripada kerajaan negeri dan juga kerajaan pusat,” ujarnya

Di samping itu, beliau turut akan melihat masalah pembakaran terbuka di kawasan ini.

"Walaupun sekarang ini sudah ada sedikit perubahan untuk mengurangkannya tetapi saya rasa banyak yang kita boleh buat dan saya menawarkan khidmat bakti saya,” katanya.