GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang sedang berusaha untuk menambah simpanan tanah bagi tujuan pembangunan melalui projek tebus guna tanah di negeri ini.
Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, Pulau Pinang mempunyai jumlah keluasan tanah 1,409 kilometer persegi iaitu bersamaan dengan 140,900 hektar.
Menurutnya, kerajaan negeri sedang berusaha untuk menambah simpanan tanah melalui projek tebus guna tanah namun kaedah itu dilihat akan mempunyai kekangan bagi tempoh jangka masa panjang selain kosnya yang sangat tinggi.
"Jadi, antara kaedah lain yang dirasakan sesuai bagi pembangunan perumahan terutamanya pada masa hadapan adalah dengan pembaharuan semula bandar (URC). Garis Panduan Pembaharuan Semula Bandar (Pembangunan Perumahan) telah diluluskan oleh Jawatankuasa Perancang Negeri bagi membantu agensi untuk pelaksanaan projek-projek URC ini," katanya pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang ke-14 pada Jumaat.
Jagdeep (DAP-Datuk Keramat) berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Gooi Zi Sen (DAP-Pengkalan Kota) berhubung cadangan kerajaan negeri untuk memperluaskan Skim Pembaharuan Semula Bandar ke mana-mana kawasan perumahan yang lain.
Beliau berkata, kerajaan negeri sememangnya mempunyai cadangan untuk memperluaskan skim pembaharuan semula bandar ke kawasan-kawasan lain terutamanya di perumahan-perumahan lama yang sudah usang dan tidak sesuai untuk didiami.
"Ia diambil kira berdasarkan Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang 2030 di bawah Langkah 2.1.1.6: Pelaksanaan Program Pembaharuan Semula Bandar (Urban Renewal) di kawasan perumahan usang yang dikenal pasti dengan mengambil kira kebajikan semua penduduk yang terlibat.
"Ia juga selari dengan Visi Penang 2030 di bawah terma A iaitu meningkatkan daya huni dan menambah baik kualiti kehidupan. Kajian-kajian awal akan dilaksanakan dari masa ke masa untuk mengenal pasti skim-skim perumahan lama yang dirasakan berpotensi untuk dilaksanakan," jelas beliau.
Persidangan DUN ditangguh dan akan bersambung pada 21 November ini bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).