KANGAR – Media sosial akan menjadi platform utama calon BN Parlimen Padang Besar, Datuk Zahida Zarik Khan berkempen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kerana masih dalam tempoh edah selepas kematian suami.
Ketua Puteri UMNO itu yang kematian suami pada 20 Ogos lalu itu masih menjalani tempoh edah selama empat bulan 10 hari sebagaimana yang ditetapkan hukum Islam.
Ketua Wanita UMNO Bahagian Padang Besar, Asmaiza Ahmad berkata, perkara itu bagaimanapun tidak menghalang BN untuk mengekalkan kemenangan di kerusi Parlimen Padang Besar.
Menurutnya, kelima-lima penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Padang Besar yang dicalonkan semula pada PRU15 juga sudah sepakat untuk membantu Zahida memenangi pilihan raya ini.
"Zahida sudah berada di sini sejak semalam (Khamis) untuk menyelesaikan hal berkaitan pencalonannya. Beliau juga sudah berjumpa dengan jentera-jentera pilihan raya di Padang Besar ini untuk bersama-sama mengatur gerak kerja.
"Memandangkan Zahida masih dalam edah, beliau akan berkempen menggunakan media sosial. Ini kerana kita mahu mendapatkan pandangan ulama berhubung perkara ini.
"Pada masa sama, kami di UMNO Bahagian Padang Besar sudah sepakat untuk membantu kempen beliau dan akan ada wakil calon yang akan turun padang dalam memastikan kemenangan kerusi Parlimen Padang Besar kekal milik BN,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Asmaiza yang juga calon BN kerusi DUN Chuping memberitahu, pihaknya sudah menggerakkan jentera sayap wanita bagi memastikan usaha meraih undi berjalan lancar.
Berhubung isu calon luar, beliau menyifatkan perkara itu bukan isu besar kerana masih ramai ahli UMNO di Padang Besar yang setia dan menghormati keputusan parti.
"Setakat ini, gerak kerja jentera pilihan raya BN di Padang Besar ini berjalan lancar walaupun sebelum ini timbul isu UMNO Bahagian Padang Besar menolak calon luar.
"Penolakkan itu tidak mewakili keseluruhan ahli UMNO di Padang Besar ini kerana kami di peringkat kepimpinan tertinggi (UMNO Bahagian Padang Besar) tidak terlibat dengan perkara tersebut,” ujarnya.
Zahida diumumkan sebagai calon BN Parlimen Padang Besar bagi menggantikan penyandang yang juga Ketua UMNO Bahagian Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin.
Zahidi menguasai Parlimen Padang Besar sejak dua penggal iaitu pada Pilihan Raya Umum 2013 dan 2018. Sebelum itu, pada pilihan raya umum 1999 dan 2004, Zahidi menjadi penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Beseri.
Pada PRU14, Zahidi memenangi kerusi Parlimen Padang Besar dengan majoriti 1,438 menerusi pertembungan tiga penjuru melawan calon PKR, Izizam Ibrahim dan Pas, Mokhtar Senik. Zahidi mendapat sebanyak 15,032 undi manakala Izizam 13,594 dan Mokhtar 7,874 undi.