Kerajaan sementara tak wajar luluskan kontrak pertahanan

Iklan
Mohamad Sabu (kanan) dan Liew Chin Tong.

SHAH ALAM - Kerajaan sementara diingatkan agar mengelak daripada melaksanakan dasar pertahanan negara yang akan mengikat kerajaan yang ditubuhkan selepas pilihan raya dengan tidak meluluskan sebarang kontrak terutamanya untuk tujuan politik dalam tempoh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.

Ia susulan tindakan Kementerian Pertahanan yang menyerahkan laporan perolehan 36 pesawat tempur ringan atau Light Combat Aircraft (LCA) bagi Tentera Udara Malaysia (TUDM) kepada Kementerian Kewangan (MOF) untuk keputusan perolehan seperti yang dilaporkan media pada 27 Oktober lalu.

Iklan
Iklan

Perkara itu dinyatakan oleh bekas Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dan bekas Timbalan Menteri Pertahanan Liew Chin Tong dalam satu kenyataan bersama pada Jumaat.

"Kami ingin menjelaskan bahawa kerajaan sementara berfungsi untuk mengelakkan penyalahgunaan kuasa akibat ketiadaan Parlimen untuk menjalankan tugas semak dan imbang.

Iklan

"Kerajaan sementara haruslah mengelakkan daripada melaksanakan dasar kerajaan yang mampu mengikat kerajaan yang ditubuhkan selepas pilihan raya.

"Kami amat kecewa bahawa kerajaan sementara BN masih mempunyai keberanian untuk mencadangkan dan memasuki kontrak yang berjuta ringgit yang mampu mempengaruhi keselamatan negara," menurut kenyataan tersebut.

Iklan

Mereka mendakwa, tindakan tersebut bukan kali pertama dilaksanakan melibatkan kontrak yang ketara semasa memegang peranan kerajaan sementara kerana berdasarkan Laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) masih terdapat projek land swap yang ditandatangani oleh kerajaan dengan pihak swasta selepas pembubaran Parlimen pada 7 April 2018.

"Projek terlibat adalah Cadangan Pembangunan 23 RAMD Batalion Infantri Standard dan 3 RAD Bantuan Rapat Di Kem Hutan Melintang, Bagan Datuk, Perak (Land Swap Kem Rasah dan Lahat, 46.159 ekar) yang ditandatangani pada 3 Mei 2018 dan Cadangan Pembangunan Fasiliti di Kem Muara Tuang dan Kem Penrissen, Sarawak (Land Swap Kem Pending dan Kem Sentosa, 29.18 ekar) yang ditandatangani pada 8 Mei 2018 - satu hari sebelum tarikh PRU14.

"Daripada penemuan siasatan JKSTUPKK, projek-projek tersebut terutamanya Land Swap di Bagan Datuk, Perak dibina bagi tujuan dan kepentingan politik untuk memindah pengundi sebelum PRU14," katanya.

Justeru, tegas mereka, kerajaan perlu menghargai peranannya sebagai kerajaan sementara untuk menjaga kepentingan negara sebelum pilihan raya yang seterusnya.

"Kerajaan tidak sepatutnya meluluskan sebarang kontrak terutamanya untuk tujuan politik. Jadi, kerajaan sementara haruslah mementingkan keselamatan negara dengan cara membela aset negara secara teliti," katanya.