KANGAR - Pakatan Harapan (PH) Perlis akhirnya melengkapkan senarai kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bakal ditandingi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) selepas Parti Amanah Negara (Amanah) mengumumkan nama enam calonnya termasuk seorang calon kerusi Parlimen.
Amanah menampilkan empat muka baharu iaitu seorang bagi kerusi Parlimen Padang Besar dan tiga bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis pada PRU15.
Pesara tentera yang kini bergelar pengusaha mangga harum manis, Mohamad Saad @ Yahaya diumumkan sebagai calon muka baharu bagi kerusi Parlimen Padang Besar.
Tiga muka baharu yang dipertaruhkan merebut kerusi DUN ialah Ahli Jawatankuasa Biro Pilihan Raya Umum (PRU) Amanah Perlis, Mat Safar Saad (Beseri); Ahli Jawatankuasa Amanah Kangar, Azhari Ahmad (Bintong) dan Ahli Amanah, Dr Ahmad Fadhzil Mohamad (Sanglang).
Dua muka lama yang akan bertanding semula ialah Pengerusi Amanah Perlis, Wan Kharizal Wan Khazim (Kayang) dan Ketua Wanita PH negeri, Che Mazlina Che Yob (Santan).
Pengumuman memperkenalkan calon itu dibuat Wan Kharizal pada Jumaat.
Sementara itu, calon termuda Amanah, Dr Ahmad Fadhzil memberitahu, beliau ingin membawa tujuh manifesto yang dipanggil ‘SIMPATI Sanglang’.
"S itu merujuk kepada sihat sejahtera, I ialah ilmu pendidikan, M iaitu membangun, P ialah pertanian perikanan, A merujuk aktiviti belia dan sukan, T ialah tarikan pelacongan dan terakhir I, infrastruktur asas.
"Kita mahu membawa perubahan dan pembangunan di Sanglang. Misalnya, di Sanglang sendiri tidak mempunyai kemudahan untuk bersukan, dewan pun tiada. Jadi kemudahan-kemudahan itu kita nak bawa di Sanglang,” ujar pemilik rangkaian Klinik Annura.
Senarai calon DUN PH Perlis PRU15
Parlimen Padang Besar
N01 Titi Tinggi:Teh Seng Chuan
N02 Beseri: Mat Safar Saad
N03 Chuping: S Natthavuth
N04 Mata Ayer: Amran Kamarudin
N05 Santan: Che Mazlina Che Yob
Parlimen Kangar
N06 Bintong: Azhari Ahmad
N07 Sena: Asrul Nizan Abd Jalil
N08 Indera Kayangan: Gan Ay Ling
N09 Kuala Perlis: Nor Azam Karap
N10 Kayang: Wan Kharizal Wan Khazim
Parlimen Arau
N11 Pauh: Azhar Ameir
N12 Tambun Tulang: Muhammad Syahmi Suhaimi
N13 Guar Sanji: Hasparizal Hassan
N14 Simpang Empat: Amran Darus
N15 Sanglang: Ahmad Fadhzil Mohamad