Kuota 30 peratus calon wanita perlu dilaksana pada PRN

Iklan
Shahanim

SUNGAI PETANI - Kuota 30 peratus calon wanita diharap dapat dilaksanakan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri yang dijangka bubar tahun depan.

Ketua UMNO Bahagian Sungai Petani, Datuk Shahanim Mohamad Yusoff berkata, ketika ini kuota 30 peratus calon wanita seperti dijanjikan BN belum tertunai, namun berharap dapat dilaksanakan pada PRN akan datang.

Iklan
Iklan

Beliau yang juga calon bagi kerusi Parlimen Sungai Petani tetap bersyukur kerana BN Kedah meletakkan empat calon wanita di negeri itu sekali gus memberi peluang terbaik kepada pengundi membuat pilihan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"Jadi saya minta orang Kedah terutamanya pengundi wanita, beri peluang kepada wanita menjadi wakil rakyat kerana bukan senang nak dapat kuota untuk wanita," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Anak Muda di Pantai Merdeka pada Jumaat.

Shahanim berkata, personaliti wanita yang lebih fokus ketika bekerja, menjaga berintegriti dalam perkhidmatan, lebih prihatin, penyayang dan belas kasihan dianggap sebagai satu kelebihan.

Iklan

"Jadi untuk Kedah saya harapkan pengundi khususnya wanita mengundi calon-calon wanita yang telah ditampilkan BN," ujarnya.

Selain Shahanim, BN turut mengumumkan tiga lagi calon wanita di Kedah antaranya Ketua UMNO Bahagian Pendang, Datuk Suraya Yaakob bagi Parlimen Pendang; Ketua Wanita UMNO Bahagian Sik, Maizatul Akmam Othman (Sik) serta Datuk Dr Mashitah Ibrahim (Kuala Kedah).

Dalam pada itu, Shahanim juga mengharapkan pengundi muda yang baharu pertama kali mengundi membuat pilihan tepat berdasarkan kualiti calon.

"Pilih calon berdasarkan kualiti bukan hanya pandai cakap, jangan kerana hasutan rasuah, kita rangkumkan semua pemimpin BN terlibat, itu tidak adil.

"Bukan setakat tidak adil, ia akan merugikan orang-orang muda kerana mereka pemimpin pelapis pada masa akan datang," jelas beliau.

Beliau berkata, hanya kerana satu undi, ia mampu memberi kesan selama tempoh lima tahun seseorang wakil rakyat berkhidmat.

"Satu undi, satu jari, lima tahun kesannya, sebab itu pilih calon yang boleh bantu rakyat, baharu pilih parti untuk kestabilan," katanya.