TAHUKAH anda, salah satu bahagian penting yang selalu terdedah kepada jangkitan bakteria ialah tangan?
Kita mengguna tangan untuk membuat pelbagai perkara seperti untuk membuat kerja, makan, memegang hidung atau mulut. Ini akan menyebabkan bakteria berbahaya mudah menyerang kita.
Info Menarik!
* Mencuci tangan merupakan amalan kebersihan yang penting bagi setiap orang. Itulah sebabnya, pada 15 Oktober setiap tahun, diadakan sambutan Hari Mencuci Tangan Sedunia.
* Hari Mencuci Tangan Sedunia telah diisytiharkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bersempena dengan Tahun Sanitasi Antarabangsa 2008.
* Sejak dimulakan pada tahun 2008, Hari Mencuci Tangan menjadi satu kempen sedunia untuk mengukuhkan amalan kebersihan diri. Hari Mencuci Tangan Sedunia bertujuan untuk meningkatkan kesedaran kepentingan kebersihan diri.
* Mencuci tangan dengan sabun adalah cara yang paling berkesan untuk mencegah penyakit seperti cirit-birit dan pneumonia, yang merupakan punca utama kematian kanak-kanak di dunia.
* Mencuci tangan selepas keluar tandas, sebelum makan dan mengendalikan makanan, dapat mengurangkan kadar cirit-birit dalam kalangan kanak-kanak sebanyak 40 peratus.
Jenis bakteria pada tangan:
* Salmonella
Bakteria penyebab keracunan makanan. Biasanya terdapat dalam tanah dan disebabkan kekotoran lain.
* E. Coli
Tempat pembiakan bakteria ini adalah melalui najis dan di kawasan kotor. Petanda anda diserang bakteria ini apabila ada gejala sakit perut dan muntah-muntah.
* Bacillus cereus
Penyebab keracunan makanan. Biasanya ini berlaku apabila anda tersilap mengambil makanan yang telah basi, tidak dibersihkan dengan baik, atau yang dimasak menggunakan peralatan yang kotor, dan sebagainya.
* Staphylococcus
Boleh menyebabkan perut sakit, rasa loya dan cirit-birit.
Sumber: https://www.ekuntum.com.my/