PUTRAJAYA - Tiga jalan di sini akan ditutup sementara pada Sabtu semasa hari penamaan calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi Parlimen Putrajaya.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, penamaan calon ini bertempat di Kompleks Kejiranan Presint 9 dan penutupan jalan akan dibuat secara berperingkat mulai jam 8 pagi hingga proses penamaan calon selesai.
Iklan
Iklan
"Jalan-jalan yang akan ditutup adalah Jalan Presint 9C bermula lampu isyarat Petronas 9D sehingga lampu isyarat Jalan P9C/1 (Fasa 8), Jalan Presint P9A bermula dari Petronas P9A hingga Jalan Presint P9C serta Jalan Presint 9F bermula SKPP9(1)/Klinik Kesihatan P9 hingga Jalan Presint P9C," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, pengguna jalan raya serta penghuni Fasa 10 dan Fasa 11 Presint 9 khususnya dinasihatkan supaya menggunakan laluan alternatif ke destinasi masing-masing selain patuh dan akur kepada arahan polis bertugas.
Katanya, seramai 269 pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya akan diatur gerak semasa hari penamaan calon.
"Para calon dan wakil calon dikehendaki mengawal emosi para penyokong untuk tidak menimbulkan sebarang provokasi terhadap peyokong parti lain," ujarnya.