SHAH ALAM - Universiti Utara Malaysia (UUM) bertekad dan beriltizam memupuk nilai integriti terpuji, amanah serta jujur dalam kalangan mahasiswa bagi melahirkan golongan pemimpin bersih menerajui negara.
Naib Canselornya, Profesor Dr Haim Hilman Abdullah berkata, pihak pengurusan dan pentadbiran UUM berusaha menanamkan nilai-nilai keperibadian tinggi tersebut dalam jiwa mahasiswa serta kumpulan tenaga kerja universiti.
Beliau yang terkenal dengan panggilan Profesor Rakyat berkata, usaha tersebut dilihat penting untuk dizahirkan dalam semua lapisan masyarakat UUM terutama golongan pelajar bagi melihat masa depan negara yang sedang giat dibina dapat diteruskan dengan jaya.
Menurut beliau, mahasiswa adalah barisan hadapan yang akan memimpin negara pada masa depan dan disebabkan itu ia menjadi satu kewajipan untuk mempunyai nilai integriti terpuji.
"Apa yang saya harapkan adalah sistem perundangan negara, sistem kemasyarakatan serta sektor pendidikan yang mana kesemuanya perlu bekerjasama memperbaiki apa jua kelemahan.
"Cabaran pada hari ini jauh lebih besar daripada sebelum ini. Bagi memastikan negara terus kompetitif, kita perlu memperbaiki sistem dan apa jua mekanisme atau sistem yang kita guna pakai pada hari ini," katanya pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Haim berkata, sistem yang diguna pakai mestilah yang boleh membantu negara mengurang atau membendung apa jua bentuk ketirisan.
Jelasnya, selagi mana ada elemen ketirisan berlaku, ia akan mengakibatkan negara terus mengalami kerugian dan menyebabkan masyarakat tidak memperoleh sebuah kemudahan yang sempurna akibat isu tersebut.
Tegas beliau, usaha untuk memastikan ketirisan dapat dibendung dan dikurangkan perlu diusahakan sebaik mungkin.
Untuk itu katanya, UUM sedaya upaya berusaha memantapkan jati diri dan integriti warga UUM dengan memberi penekanan agar mereka menjadi seorang individu yang betul-betul benci kepada segala perkara negatif termasuk budaya rasuah.
"Kita yakin masa depan negara akan menjadi lebih baik sekiranya nilai-nilai ini dapat diterapkan sepenuhnya.
"Bukan sekadar cemerlang dalam akademik tetapi perlu hebat dalam konteks bagaimana kita mampu menzahirkan diri kita kepada masyarakat sebagai generasi yang ditunggu-tunggu oleh negara menjadi generasi terbaik dan boleh dipanggil sebagai generasi emas Malaysia," katanya.
Sementara itu, ketika diminta mengulas Undi-18, Haim berkata, langkah yang dilaksanakan oleh kerajaan itu sangat baik dan disokong oleh ahli Parlimen yang bersetuju pada dasarnya untuk menguatkuasakan golongan pengundi baharu itu mula mengundi kali ini.
Jelasnya, ia menjadi ruang kepada rakyat Malaysia yang berumur 18 tahun untuk menjadi sebahagian daripada barisan rakyat yang memilih dalam pembentukan kerajaan.
Menurutnya, kumpulan pengundi 18 tahun itu dapat menggunakan peluang ini memberikan undian tepat kepada barisan kepimpinan yang akan dibentuk dan akhirnya menjadi sebuah kerajaan.
"Satu langkah baik membawa mereka segera dalam konteks pemilihan kepimpinan negara. Namun kita perlu terus mendekati barisan anak muda ini agar kita sama-sama dapat berkongsi apakah harapan kita sebagai generasi lebih awal dan pada masa sama memahami apakah aspirasi mereka.
"Jangan sesekali melihat mereka sebagai kumpulan yang tidak boleh membuat keputusan baik kerana ramai juga orang dewasa yang tidak boleh membuat keputusan dengan baik.
"Perlu dikongsikan maklumat benar, tepat serta terus membimbing mereka. Kita juga harus menjadi pendengar yang baik agar mereka boleh merasakan bahawa di sana ada ruang buat anak muda dan generasi akan datang untuk berganding bahu secara bersama dalam membuat keputusan dan pilihan membina negara," katanya.