SHAH ALAM - Calon Perikatan Nasional (PN), Deepak Jaikishan menarik diri daripada bertanding di Parlimen Pulai, Johor pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Bagaimanapun Deepak memberitahu, dia akan tetap mendaftar pencalonan pada Sabtu dan akan menyuarakan visinya cuma bukan sebagai calon PN.
"Dalam tempoh 48 jam ini, saya sedar bahawa serangan terhadap golongan kleptokrat yang penuh dengan rasuah dan sekutu mereka lebih dihargai oleh pejuang demokrasi yang sejati," dalam satu kenyataan akhbar pada Jumaat.
Sebelum itu, Deepak diumumkan sebagai calon yang bakal bertanding bagi kerusi Parlimen Pulai, Johor pada PRU15.
Tambah beliau, sebagai pejuang dia akan terus melawan dan tidak gentar dalam memelihara negara daripada pengamal rasuah dan kleptokrat.
"Hari ini, saya telah memilih untuk menyertai gabungan yang sehaluan dengan pandangan politik saya dan akan sentiasa berani serta gagah dalam mewakili suara rakyat Malaysia di Parlimen," jelasnya.